Taktik seludup diesel terbongkar
RANTAU PANJANG - Pergerakan mencurigakan dua lelaki mengisi minyak diesel ke dalam sebuah lori secara berulang-ulang di dua stesen minyak membongkar kegiatan penyeludupan bahan api itu di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Rahmat, Lubuk Setol di sini, pada Jumaat.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 40-an itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, dalam Operasi Membanteras Ketirisan Barang Kawalan di sekitar Rantau Panjang, Kelantan dan sempadan negara itu, pihaknya mengesan pergerakan dua lelaki mencurigakan sedang membuat pengisian minyak diesel secara berulang di stesen minyak di Jeli serta Tanah Merah.
“Seterusnya pasukan mengekori lori dipandu suspek dan membuat serbuan di sebuah ladang kelapa sawit, Kampung Rahmat Lubuk Setol, Rantau Panjang.
“Pemeriksaan lanjut terhadap lori jenis Volvo menemui sebanyak 450 liter minyak diesel di dalam tangki yang dipercayai diubah suai pada kenderaan yang berpendaftaran Malaysia tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, dua suspek lelaki warga tempatan itu mengaku membuat pembelian minyak diesel sebanyak RM600.
“Pasukan membuat sitaan terhadap minyak diesel berjumlah 450 liter dengan nilai rampasan barangan kawalan itu dianggarkan sebanyak RM967.50 bersama lori bernilai RM85,000.
“Modus operandi digunakan suspek adalah menjalankan kegiatan mereka pada awal pagi, menggunakan lori dan membuat pengisian secara berulang di stesen-stesen minyak ke dalam tangki yang diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil serta-merta.
“KPDNHEP bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat.
"Orang awam diingatkan untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan di saluran rasmi portal e-Aduan KPDNHEP, Call Centre 1-800-886-800 dan emel e-aduan@kpdnhep.gov.my.
“Aduan juga boleh dibuat melalui Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp 019-279 4317 dan 019-848 8000,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!