Operasi masyair: Tugasan mencabar demi jemaah haji Malaysia

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

MAKKAH - Berdiri lebih tiga jam tanpa mengira cuaca panas, tengah malam mahupun subuh dan bertugas tanpa mengira bila bermula dan berakhir adalah realiti dihadapi petugas Lembaga Tabung Haji (TH) ketika operasi masyair.

Pengarah Operasi Masyair, Mohd Norber Kassim berkata, tanpa perancangan rapi dan keikhlasan petugas, pelbagai perkara tidak diingini mungkin boleh berlaku terutama risiko lewat sampai ke Arafah, masalah penginapan dan kesukaran menjejaki jemaah yang sesat ke khemah negara lain.

"Keutamaan ketika operasi masyair ialah membawa semua jemaah ke Arafah tetapi sebelum mereka tiba, kemudahan seperti khemah, tilam dan bantal mesti dipastikan tersedia.

"Begitu juga dengan kemudahan elektrik dan air, penyaman udara serta tandas. Makan dan minum jemaah juga di bawah kendalian operasi masyair. Kita ada sediakan 16 kali makan bermula 8 hingga 13 Zulhijah,” katanya dengan menambah makanan yang dimasak oleh muassasah juga perlu diperiksa supaya cukup untuk semua jemaah dan memenuhi cita rasa.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan unit masyair melaksanakan operasi dengan teratur dan tersusun malah mendapat pujian jemaah haji.

Dalam mengatur pergerakan bas, Mohd Norber berkata, beberapa mesyuarat dan latihan telah diadakan memandangkan pergerakan itu melibatkan banyak pihak termasuk pemandu, petunjuk arah, muassasah, jemaah haji, pengurus maktab dan unit operasi Masyair.

Lebih mengagumkan ketika operasi tersebut, kesemua pergerakan lancar mengikut jadual dan tiada sekatan daripada polis Arab Saudi.

"Jemaah dari tiga bangunan penginapan perlu digerakkan secara teratur dan apabila bas sampai, kita perlu pastikan jemaah segera turun dari bilik masing-masing kerana bas tidak boleh menunggu lama, jika tidak polis Arab Saudi akan datang,” katanya.

Mohd Norber berkata, cabaran sebenar ditempuhi unit kendaliannya ialah ketika di Mina kerana jemaah tinggal agak lama iaitu empat hari bermula 10 Zulhijah dan pada masa sama jemaah perlu dipastikan melaksanakan ibadah melontar tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan 16 pos di laluan tertentu bagi mengelak jemaah tersasar memandangkan mereka perlu berjalan sejauh 10 kilometer pergi dan balik dari khemah di Mina untuk melaksanakan ibadah melontar di Kompleks Jamrah.

"Ada juga kejadian jemaah yang ikut laluan lain daripada ditetapkan dan mereka tersasar. Alhamdulillah kita dapat selamatkan dan hantar mereka ke khemah masing-masing. Walaupun jauh dan ambil masa, petugas tetap akan pergi cari jemaah dengan berjalan kaki.

"Setiap pos akan ada dua orang bertugas iaitu tiga jam bagi satu syif dan mereka perlu sentiasa bergerak kerana tentera Arab Saudi tidak benarkan mereka berdiri di situ sahaja untuk elak kesesakan,” katanya.

Mohd Norber berkata, secara keseluruhan, operasi berjalan lancar dan petugas masyair dapat menyelesaikan masalah dengan cepat terutama berkaitan kemudahan penyaman udara dan makanan.

"Pengorbanan petugas masyair sangat besar, semoga ibadah dan pekerjaaan mereka memperoleh keberkatan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!