Ops Kesan 'buru' majikan tidak mencarum Perkeso

Antara premis yang diperiksa dalam Ops Kesan.
Antara premis yang diperiksa dalam Ops Kesan.
A
A
A

PETALING JAYA - Usaha seorang wanita yang seolah-olah seperti mahu melindungi majikannya daripada dikenakan tindakan, gagal apabila tiada caruman untuk pekerja dibuat sejak 2016.

Perkara itu disahkan selepas satu operasi Ops Kesan yang dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kira-kira jam 11 pagi di Dataran Sunway.

Wanita berusia lingkungan 20-an berkenaan yang pada mulanya mengaku bukan pekerja di butik pakaian itu kemudiannya menghubungi seseorang sebelum meminta kakitangan Perkeso untuk datang kembali kerana majikannya tiada di lokasi.

Wanita itu mengakui hanya membantu menjaga premis berkenaan sahaja, malah mengaku tidak menerima sebarang bayaran gaji selain turut memberi pelbagai alasan lain.

Bagaimanapun, pemeriksaan rekod mendapati majikan butik itu kali terakhir mencarumkan pekerjanya di bawah Perkeso adalah pada tahun 2016, sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Pengarah Perkeso Selangor, Mustafa Draman berkata, Ops Kesan yang dijalankan ini bukan bertujuan untuk mencari kesalahan, tetapi untuk mendidik bagi memastikan majikan mendaftar pekerja masing-masing dilindungi Perkeso.

"Sehingga jam 2 petang, kami memeriksa 257 premis dan 21 daripadanya dikompaun berjumlah RM19,500 kerana didapati tidak mendaftarkan pekerja mereka serta tidak mematuhi caruman bulanan.

"Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 4 dan 5 Akta Perkeso 1969. Mereka turut diberikan notis untuk mendaftarkan pekerja dan melangsaikan tunggakan dalam masa 14 hari dan sekiranya gagal, bakal berdepan tindakan," katanya kepada pemberita, selepas operasi, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mustafa berkata, sekiranya majikan terus ingkar dan mengabaikan kesalahan ini, mereka boleh didakwa sehingga penjara dan denda.

Sementara itu, ADUN Kota Damansara, Shatiri Mansor yang turut menyertai operasi bersama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, sepatutnya pekerja perlu tahu mengenai hak mereka dan bukannya melindungi majikan.

"Antara alasan yang kerap diberikan pekerja ketika pemeriksaan dan sebahagian besar mendakwa tidak tahu mengenai caruman Perkeso, premis baru dibuka selain pekerja yang tidak tahu hak mereka.

"Operasi ini akan terus dilakukan bagi memastikan majikan berdaftar dengan Perkeso dan KWSP kerana itu adalah hak pekerja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!