Pelancong di pantai Mersing diminta waspada

Penduduk terutama di sekitar pesisir pantai disarankan berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku hingga Ahad ini. - Foto fail Bernama
Penduduk terutama di sekitar pesisir pantai disarankan berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku hingga Ahad ini. - Foto fail Bernama
A
A
A

MERSING - Orang ramai diminta sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air terutama di pesisir pantai Mersing susulan amaran fenomena air pasang besar yang diramal berlaku hingga Ahad ini.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, mereka yang ingin melakukan aktiviti di tengah laut atau pulau di sekitar perairan Mersing disaran memaklumkan kepada ahli keluarga, rakan terdekat atau pejabat maritim sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, pengusaha bot dan feri juga perlu mengutamakan aspek keselamatan penumpang sebelum melaksanakan sebarang aktiviti air.

"Orang ramai perlu mengambil tahu mengenai keadaan cuaca dan air laut (pasang surut). Walaupun fenomena air pasang besar hanya ramalan, kita tetap perlu berwaspada," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Taman Rekreasi, Pantai Mersing di sini pada Jumaat.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan pihaknya, fenomena tersebut berlaku di pesisir pantai berkenaan tetapi ia tidak sebesar seperti yang berlaku pada Disember lepas.

"Kami khuatir air pasang besar ini akan datang sekali dengan hujan lebat dan angin kencang yang akan memburukkan lagi keadaan," katanya dengan menambah tumpuan akan diberi di lokasi sekitar Sungai Mersing berikutan banyak bot dan feri diletakkan di jeti awam dan persendirian.

Pusat Hidrografi Nasional menerusi ciapan di Twitter memaklumkan fenomena itu berlaku disebabkan pengaruh daya tarikan graviti bulan dan matahari.

Justeru, penduduk terutama di sekitar pesisir pantai di seluruh negara disarankan berwaspada. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!