Tujuh cedera helikopter terhempas di Songkhla

Sebuah helikopter dilaporkan terhempas di daerah Thepa di Songkhla. - Foto Wassana Nanuam
Sebuah helikopter dilaporkan terhempas di daerah Thepa di Songkhla. - Foto Wassana Nanuam
A
A
A

SONGKHLA - Sebuah helikopter membawa komander tentera wilayah, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak dan enam yang lain dilaporkan terhempas di daerah Thepa di Songkhla pada Jumaat dan kesemua penumpang mengalami cedera ringan.

Jurucakap Tentera Ke-4, Kol Pramote Prom-in berkata, helikopter Black Hawk mengalami masalah enjin pada kira-kira 8 pagi (waktu tempatan) semasa dalam perjalanan dari kem tentera Senanarong di Hat Yai, Songkhla ke Kem Sirindhorn di daerah Yarang, Pattani.

Beliau berkata, juruterbang cuba membuat pendaratan kecemasan tetapi helikopter itu melanggar pokok di sebuah ladang getah.

"Juruterbang dan enam penumpang lain termasuk Kriangkrai mengalami cedera ringan. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Thepa.

"Mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Songklanagarind di Hat Yai,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan Kriangkrai sedang dalam perjalanan rasmi untuk memeriksa wilayah sempadan.

Menurut laporan itu helikopter berkenaan sudah digunakan sejak 17 tahun lalu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!