KPKT bangunkan indeks harga rumah mampu milik

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) melawat ke ruang pameran selepas majlis pelancaran HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah di Pusat Pameran Mid Valley pada Jumaat. Turut kelihatan,Reezal Merican Naina Merican (tiga dari kiri).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) melawat ke ruang pameran selepas majlis pelancaran HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah di Pusat Pameran Mid Valley pada Jumaat. Turut kelihatan,Reezal Merican Naina Merican (tiga dari kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang membangunkan Indeks Harga Rumah Mampu Milik bagi setiap lokaliti di seluruh negara sebagai panduan kepada pemaju, bakal pembeli dan pihak berkuasa tempatan dalam menentukan harga rumah mampu milik sewajarnya di sesuatu kawasan atau lokaliti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, indeks tersebut wajar diadakan memandangkan standard atau definisi rumah mampu milik bagi lain-lain lokaliti malahan negeri adalah berbeza.

"Sebagai contoh, mampu milik di Shah Alam mungkin tidak sama dengan mampu milik di Hulu Selangor. Oleh sebab itu, kita kena adakan satu piawaian yang berbeza untuk dijadikan garis panduan kepada entiti dan pemaju perumahan bagi membangunkan atau pembinaan rumah mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Program Pemilikan Kediaman (HOPE) dan Karnival Jom Beli Rumah di Mid Valley Exhibition Centre di sini pada Jumaat.

Kedua-dua program itu adalah antara inisiatif kerajaan untuk memudahkan pemilikan kediaman khususnya kepada golongan B40, M40 dan generasi muda.

"Setiap Keluarga Malaysia perlu dan harus dibantu untuk memiliki rumah. Ini matlamat kita bersama, Satu Keluarga Satu Rumah," katanya.

Reezal turut memaklumkan, Karnival Jom Beli Rumah yang diadakan pada Jumaat akan diperluaskan pelaksanaanya di seluruh negara dan lebih 130,000 rumah mampu milik serta lebih 330,000 kediaman pada harga bebas ditawarkan dalam siri jelajah karnival itu kelak.

"Ia (Karnival Jom Beli Rumah) tidak akan terhenti di Mid Valley ini sahaja, malah akan dibawa menemui Keluarga Malaysia di Utara, Pantai Timur, Selatan hingga Wilayah Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, tawaran istimewa termasuk potongan harga rumah sehingga 10 peratus, pengurangan atau pengecualian bayaran guaman serta kemudahan untuk membuat bayaran 10 peratus deposit daripada harga rumah secara ansuran turut menanti pengunjung.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 386,000 unit daripada 500,000 unit rumah yang disasarkan dibina sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sedang dalam peringkat pelaksanaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!