Harimau Muda juara B-19 AFF
SKUAD Bawah 19 (B-19) tahun negara kembali merampas semula Kejuaraan AFF B-19 2022 selepas menewaskan Laos 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, Indonesia pada Jumaat.
Tampil menurunkan kesebelasan terbaik, skuad kendalian Hassan Sazali Waras terlebih dulu menguji penjaga gawang Laos, Phounin Xayyasone dalam misi menebus kekalahan 0-1 dalam perlawanan Kumpulan B sebelum ini
Namun percubaan pada minit keenam hasil tandukan Faiz Amer Runnizar sekadar tersasar melewati palang gol Laos dalam perlawanan berintensiti tinggi dipamerkan kedua-dua pasukan.
Percubaan itu ternyata menyemarakkan semangat para pemain negara apabila Faiz Amer sekali lagi menjadi duri dalam daging lawan selepas menyudahkan sepakan percuma pada minit ke-14 untuk membawa pasukan negara menuju ke bilik persalinan dengan bekalan satu gol untuk 45 minit pertama.
Bersambung babak kedua, anak buah Hans Michael Weiss kembali memperkemaskan permainan mengancam gawang gol negara dikawal Syahmi Adib Haikal Syukri, namun percubaan Phonsack Seesavath minit ke-50 sekadar melepasi palang gol.
Biarpun Million Elephants cuba memberi saingan bagi mencari gol penyamaan, namun deretan peluang dimiliki gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya skuad negara apabila melebarkan lagi jaringan menerusi Aliff Izwan Yuslan dengan gol pada minit ke-76' menewaskan Xayyasone.
Kejayaan merangkul kejuaraan edisi Indonesia 2022 ini sekali gus mengulangi pencapaian sebelum ini apabila muncul juara pada edisi Indonesia 2018 selepas menewaskan Myanmar 4 – 3 dalam perlawanan akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!