PM umum lantik Senator wakili belia di Dewan Negara

Ismail Sabri bersama Hajiji ketika tiba pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran.
Ismail Sabri bersama Hajiji ketika tiba pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan untuk melantik seorang Senator daripada golongan belia sebagai wakil di Dewan Negara.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan memaklumkan bahawa penting supaya suara belia didengari oleh kerajaan.

"Saya berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan melihat pentingnya belia kepada negara, suara belia pasti didengari oleh kerajaan, pandangan belia pasti dihargai oleh kerajaan, belia adalah masa hadapan negara.

"Untuk itu, untuk mendengar suara belia, pandangan belia, maka saya mengumumkan untuk melantik seorang Senator daripada golongan belia.

"Saya percaya, dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia kita didengar secara terus daripada wakil belia kita," katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, di sini, pada Sabtu.

Jelas beliau lagi, belia adalah masa depan kepada negara dan ia bergantung kepada warga belia yang ada.

"Seperti yang saya katakan, masa depan negara ini bergantung kepada anda warga belia semua," katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk dikongsi bersama pertubuhan yang lain.

"Saya difahamkan oleh Presiden MBM banyak lagi program diatur dan dirancang termasuk kempen dan pelbagai program lain.

"Saya dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) beri peruntukan sebanyak RM1 juta tetapi untuk aktiviti-aktiviti termasuk untuk membantu pertubuhan-pertubuhan belia di bawah tidak ada bajet.

"Untuk hari ini, saya mengumumkan peruntukan RM1 juta lagi untuk MBM untuk dikongsikan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan belia yang lain," katanya.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ahmad Faizal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!