Osman Gunting masih kekalkan caj RM6
MELAKA - Sebuah kedai gunting rambut di Pasir Puteh, Bachang di sini, masih mengekalkan bayaran RM6 bagi perkhidmatan gunting rambut untuk setiap pelanggan lelaki.
Osman Bujang, 60, atau lebih dikenali sebagai 'Osman Gunting,' berkata, khidmat gunting rambut dengan harga sedemikian itu tanpa mengira fesyen yang dikehendaki pelanggan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Menurutnya, segan dan tidak sampai hati untuk menaikkan harga memandangkan pelanggan yang datang terdiri dalam kalangan golongan B40 termasuk murid sekolah dan pelajar asrama.
"Saya sendiri malu nak naikkan bayaran gunting rambut sedangkan itu hak saya sebagai peniaga kerana harga peralatan naik.
"Namun tak sampai hati kerana mereka yang datang kebanyakan rakyat marhaen.
"Di Melaka ini hanya beberapa kedai gunting rambut lama yang masih mengenakan bayaran bawah RM10 seperti di Cheng," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Sabtu.
Osman memberitahu bahawa beliau berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 30 tahun lalu dengan memulakan perniagaan gunting rambut di Jalan Hang Tuah sebelum berpindah ke Bachang.
Menurutnya, ketika di tempat lama, beliau hanya mengenakan bayaran RM5 sekepala sebelum menaikkan RM1 selepas berpindah ke lokasi baharu.
Osman berkata, dalam tempoh enam tahun, beliau tidak pernah menaikkan harga dan berharap ia dapat dikekalkan sampai bila-bila.
Ujarnya, melalui hasil titik peluh sebagai gunting rambut, beliau dapat menyara keluarga termasuk empat orang anaknya yang bekerja sebagai peguam, dua jururawat manakala seorang lagi cenderung mengikut jejaknya.
"Saya harap anak bongsu saya yang menunjukkan minat dalam bidang ini dapat menyambung kerjaya ini," katanya.
Sementara itu pelanggan, Abdul Aziz Mohd Alif, 58, berkata, bayaran RM6 dianggap murah berbanding di tempat lain yang telah mencecah RM10 ke atas.
"Harga murah macam ini dapat membantu pelanggan berjimat terutama mereka yang mempunyai anak ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!