Ivana Trump meninggal dunia disyaki akibat jatuh tangga
WASHINGTON - Ivana Trump, bekas isteri Donald Trump, meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian perut, kata ketua forensik bandar raya New York dan memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat kemalangan.
Paramedik Manhattan menemui wanita berusia 73 tahun itu di pangsapuri Upper East Side selepas menerima panggilan kecemasan akibat serangan jantung pada Khamis. Ivana Trump diisytihar meninggal dunia pada tengah hari berkenaan.
Pejabat forensik tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara yang menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut itu, lapor United Press International (UPI) yang dipetik CBS News.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Bandar Raya New York memberitahu NBC News, kematiannya disyaki akibat terjatuh tangga di pangsapurinya.
Sumber berkata, kematiannya tidak dikategorikan sebagai mencurigakan.
Ivana Trump adalah isteri pertama kepada bekas presiden, Donald Trump dan pasangan itu dikurniakan tiga anak, Donald Trump Jr., Eric Trump dan Ivanka Trump.
Beliau bercerai dengan Trump pada 1992. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!