'Provokasi tak berlaku, hanya protes'
SHAH ALAM - Kumpulan yang mengangkat sepanduk sempena kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sabak Bernam semalam tidak melakukan sebarang provokasi tetapi hanya sebagai tanda protes.
ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman mengakui beliau berada di lokasi berkenaan dan kenderaan yang digunakan adalah miliknya.
Bagaimanapun menurutnya, tindakan itu dibuat bukan atas kapasiti beliau sebagai ADUN sebaliknya selaku Pengerusi PH Sabak Bernam.
"Saya berada di lokasi untuk mengawal keadaan. Tiada provokasi berlaku ketika Najib di situ kerana ketika kumpulan terlibat baru mahu mengeluarkan sepanduk, pihak polis telah memberi arahan untuk tidak meneruskan tindakan dan mereka akur.
"Selepas Najib beredar, baru kumpulan terlibat mengangkat sepanduk namun dalam keadaan tidak bersuara, tiada sebarang bunyi bising. Angkat sepanduk hanya sebagai tanda protes," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Najib menerusi status yang dimuat naik di Facebooknya mempersoalkan penglibatan Ahmad Mustain dalam insiden didakwa berlaku ketika beliau bersarapan ketika kunjungannya ke Sabak Bernam semalam.
Najib juga turut mendedahkan kenderaan yang digunakan kumpulan berkenaan adalah milik ADUN itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!