PKR, PH sukar tembusi kerusi luar bandar: Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim. - FOTO ROSLI TALIB.
Datuk Seri Anwar Ibrahim. - FOTO ROSLI TALIB.
A
A
A

SHAH ALAM - Kekangan dalam menerobos ke kawasan desa dan pedalaman merupakan antara kelemahan utama bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu diakui sendiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyatakan, mereka perlu lebih bersedia dalam melakukan anjakan dan pendekatan baharu dalam meneruskan usaha menawan hati pengundi luar bandar.

Menurutnya, penerangan dan penjelasan tidak harus terbatas di kalangan masyarakat kota dan pinggir kota sahaja kerana akar umbi perlu diberi pencerahan mengenai sistem dan dasar yang kini diamalkan.

“Kelemahan ketara PKR dan PH umumnya adalah kekangan menerobos ke kawasan desa dan pedalaman. Kita harus yakin dengan prinsip kemuliaan insan, menyentuh naluri rakyat dengan nilai manusiawi yang menolak rasuah dan kezaliman dan mencintai keadilan.

“Kita tidak mungkin mengharapkan agensi penerangan dan komunikasi pemerintah untuk memberi pencerahan. Maka sebab itu, rakyat harus sentiasa diberi pencerahan mengenai yang haq’ dan yang bathil, yang ma’ruf dan yang mungkar, yang benar dan yang palsu.

“Saya yakin, dalam mesyuarat pertama pimpinan baru, kita akan jadikan ini satu keutamaan bersama Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Presiden Upko). Kita juga akan bicara dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ucapan dasar presiden dan perasmian Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu.

Sementara itu katanya, sistem pendidikan negara masih belum mampu memupuk tradisi pemikiran kritis dan kreatif dalam mengimbangi ilmu dan keterampilan dengan nilai kemanusiaan yang luhur.

“Para profesional dalam agensi kerajaan juga terpalit dengan rencana ini, termasuk para sarjana dan profesor serta badan-badan budaya dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Semuanya hanya untuk mempertahankan sang penguasa dan sistem dalam satu jajaran,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!