222 ahli terima sijil Pengakap Raja

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menganugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Kedua Perak kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Sabtu. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menganugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Kedua Perak kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak 2022 kepada 315 penerima di sini pada Sabtu.

Mendahului senarai penerima ialah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad merangkap Yang Dipertua PPM Perak yang dianugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Kedua Perak (BSP-ll).

BSP-ll yang juga anugerah kedua tertinggi PPM hanya disampaikan kepada tokoh terbilang dan penganugerahannya yang terhad menjadikannya eksklusif serta penerima hanya dalam kalangan pemimpin negeri, negara dan kepemimpinan pengakap yang banyak berjasa.

Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua Perak pula dianugerahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim merangkap Timbalan Yang Dipertua PPM Perak; Exco Kerajaan Negeri, Khairul Shahril Mohamed dan Ahmad Saidi Mohamad Daud yang juga Naib Yang Dipertua PPM Perak.

Anugerah Sijil Pengakap Raja disampaikan kepada 222 penerima membabitkan ahli Pengakap Remaja pada 2019 dan 2020 yang berjaya menamatkan skima lencana di dalam pergerakan pengakap sekolah.

Keberangkatan tiba baginda di istiadat penganugerahan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, disambut Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin diiringi Saarani dan Ketua Pesuruhjaya PPM Perak, Ahmad Azam Shah Abd Majid.

Sementara itu, Mohd Zin berkata, penyampaian anugerah berkenaan adalah satu manifestasi penghargaan PPM atas segala sumbangan dan khidmat bakti cemerlang kepada pembangunan kepengakapan di dalam dan luar negara.

"Tahun 2022 ini, PPM akan menumpukan usaha menggerakkan 11 fokus utama kepengakapan negara antaranya pendigitalan, pemerkasaan 'sustainable development goals (SDGs) dan skim 'Better World Frame'.

"PPM sedang giat mempromosikan dan memajukan elemen STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) bagi menggalakkan perkembangan idea, kreativiti dan inovasi selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0," katanya.

Menurutnya, Pengakap Perak merupakan satu-satunya negeri mencipta lima siri 'Malaysia Book of Records dengan kejayaan terbaharu adalah survival Kayak Solo Pengakap OKU dari Tasik Banding ke Jeti Bagan Datuk, tahun lalu.