KKM laksana Tinjauan Kesihatan Orang Asli
KAMPAR - Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan Tinjauan Kesihatan Orang Asli buat julung kalinya di 71 perkampungan di semenanjung Malaysia bagi mendapatkan maklumat terperinci status kesihatan masyarakat kaum asal di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pelaksanaan itu dilakukan bagi tempoh tiga bulan bermula 13 Julai hingga 13 September 2022.
Menurutnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), masalah kesihatan secara terperinci dalam kalangan masyarakat Orang Asli tidak dapat diperoleh memandangkan jumlah mereka yang terlibat dalam NHMS agak terhad.
"Dengan tinjauan ini kita akan gunakan untuk merangka intervensi khusus dari segi kesihatan awam, perubatan agar perkhidmatan kesihatan diberikan kepada Orang Asli itu lebih 'evidence based'.
"Ini penting sebab kita melihat masyarakat Orang Asli dalam beberapa indikator menunjukkan tahap kesihatan mereka mesti ditingkatkan lagi," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Tinjauan Kesihatan Orang Asli di Dewan Komuniti Sahom pada Sabtu.
Khairy Jamaluddin berkata, seramai 21,000 responden akan terlibat dari perkampungan yang dipilih secara rawak di seluruh negara.
Menurutnya, sebanyak 15 pasukan akan menjalankan aktiviti pengumpulan data secara serentak.
Jelasnya, tinjauan tersebut akan melihat dari segi kebantutan dalam kalangan kanak-kanak, penyakit berjangkit yang masih ada dan penyakit tidak berjangkit di beberapa perkampungan Orang Asli.
Beliau berkata, Tinjauan Kesihatan Orang Asli diharapkan dapat memberikan maklumat terperinci status kesihatan masyarakat Orang Asli di Malaysia bagi membantu KKM memperkukuhkan lagi perkhidmatan kesihatan khusus buat masyarakat Orang Asli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!