Kim Swee kecewa Sabah tewas pada minit akhir

Penyerang Sabah FC, Jose Embalo diasak pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim Corbin Ong Levere Corbin Ong dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada Jumaat. - Foto Bernama
Penyerang Sabah FC, Jose Embalo diasak pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim Corbin Ong Levere Corbin Ong dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kecewa dengan kekalahan pasukannya pada minit akhir perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Jumaat.

Bagaimanapun beliau menganggap kekalahan itu sebagai adat dalam permainan bola sepak sambil berharap pasukannya dapat bangkit dalam perlawanan seterusnya.

“Ianya sangat mengecewakan untuk tewas di minit terakhir dan sangat sukar sebenarnya untuk diterima. JDT bermain seperti biasa dan kita berjaya mengekang mereka sehinggalah sepakan percuma memisahkan Sabah dan JDT.

“Saya perlu melihat kembali insiden sepakan percuma itu dari sudut pandang yang lebih luas.

"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana ianya sebahagian daripada permainan ini. Kita perlu belajar daripada perlawanan ini dan segera bangkit pada aksi seterusnya selepas ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi tersebut, Sabah terlebih dahulu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum penyerang import JDT, Fernando Forestieri berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Bagaimanapun ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Forestieri memastikan skuad Harimau Selatan membawa pulang tiga mata apabila bijak menyempurnakan sepakan percuma pada minit akhir perlawanan.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan prestasi kurang memberangsangkan ditampilkan import baharu Sabah FC, Jose Embalo, Kim Swee tampil mempertahankan pemain itu.

Jelas beliau, Embalo gagal beraksi dengan baik pada perlawanan itu memandangkan tempo permainan sangat pantas pada aksi tersebut selain taktikal yang diguna pakai JDT yang meletakkan dua hingga tiga pemain di bahagian pertahanan.

"Dengan permainan seperti itu, walaupun kita meletakkan seorang penyerang terbaik mereka juga akan sukar apabila sentiasa berhadapan dengan dua hingga tiga pemain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!