Anwar dakwa tolak jadi PM selepas diminta tutup kes mahkamah

Anwar ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB.
Anwar ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam pada Sabtu. - FOTO ROSLI TALIB.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri pada tahun lalu, namun menolaknya kerana tidak mahu bersubahat dengan mana-mana pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah.

Menurutnya, peluang itu diperoleh apabila beliau mendapat majoriti mencukupi menerusi sokongan akuan bersumpah (SD) daripada 105 ahli Parlimen pembangkang dan 15 daripada UMNO.

Bagaimanapun, Anwar menolaknya kerana mendakwa diminta memberikan jaminan untuk menutup kes mahkamah membabitkan pemimpin parti politik tertentu.

“Apa yang jelas, berapa banyak wang milik rakyat telah diambil oleh pemimpin ‘bodoh’ ini.

"Sebab itu, saya tidak mungkin menyokong rasuah dan kita akan lawan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jika anda mahu saya berjaya atau menjadi PM dengan tunduk kepada rasuah, maka pilihlah presiden lain,” katanya sewaktu Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu.

Anwar menambah, beliau berpeluang menjadi perdana menteri pada tahun lepas dan paling awal pada 1998 jika sanggup berkompromi dengan jenayah rasuah dan penyelamatan yang tidak munasabah.

“Nota untuk saya menjadi perdana menteri telah pun ditandatangani dan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi saya tidak menjadi perdana menteri kerana saya enggan menyokongnya.

“Jika parti rasuah boleh ‘bermain’ dengan Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi rakyat di negara ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!