Penganjur, peserta 'flash mob' harga barang berdepan tindakan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta 'flash mob' bantah kenaikan harga barang yang gagal mematuhi undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengesan sebaran video di media sosial yang mengajak orang ramai untuk menyertai 'flash mob' di seluruh negara.
"Masyarakat dinasihatkan untuk tidak menyertai sebarang aktiviti 'flash mob' atau perhimpunan yang tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Tindakan tegas akan diambil oleh PDRM terhadap mana-mana penganjur 'flash mob' atau peserta yang gagal mematuhi undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tegas Acryl Sani, PDRM akan memantau dan memastikan situasi keselamatan negara tidak terjejas.
Katanya, pada masa sama, masyarakat diminta memberi kerjasama dengan tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Berdasarkan rakaman video yang tersebar menunjukkan beberapa ahli politik memegang plakad dengan mengajak orang awam menyertai 'flash mob' pada jam 5.15 petang, Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!