PRU15: Pemuda PBB sedia kemukakan calon
KUCHING - Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersedia mengemukakan calon daripada kalangan ahli sayap itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda PBB, Miro Simuh berkata, sayap itu mempunyai ramai pemimpin berkaliber dan layak yang boleh diketengahkan sebagai calon.
"Jika diberi kesempatan oleh pimpinan parti untuk kita kemukakan calon baharu yang lebih muda kita Pemuda bersedia (kemukakan).
"Kita bersedia untuk tampilkan calon-calon baharu yang lebih bertenaga dan muda untuk menjadi calon pada PRU15,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PBB di sini pada Sabtu.
Miro berkata, Pemuda PBB juga menyokong penuh agar Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dikekalkan sebagai calon di kerusi itu pada PRU15.
PBB bersama-sama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) merupakan anggota yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).GPS kini memiliki 18 kerusi di peringkat Parlimen.
Sementara itu, Miro yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu menolak cadangan untuk dirinya bertanding di Parlimen Puncak Borneo pada PRU15.
"Bagi saya cukup setakat jadi ADUN, tidak perlu tamak sangat. Banyak lagi calon berkaliber yang layak untuk berada di sana,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!