Lelaki langgar kereta bekas tunang ditahan

Kenderan jenis Perodua Viva melanggar sebuah kenderaan lain milik bekas tunang suspek di Bandar Indah, Sandakan.
Kenderan jenis Perodua Viva melanggar sebuah kenderaan lain milik bekas tunang suspek di Bandar Indah, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai bertindak melanggar kenderaan bekas tunangnya dalam kejadian di Bandar Indah, di sini, pada Jumaat.

Tangkapan dibuat pada jam 11.15 malam selepas tular satu video berkaitan kejadian itu dan satu laporan polis turut dibuat oleh mangsa yang berusia 20-an di Balai Polis Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, mangsa yang juga pemilik kenderaan jenis Perodua Myvi tampil membuat laporan polis selepas kenderaannya dilanggar oleh suspek berusia 20-an.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama di sebuah tempat letak kenderaan.

"Suspek pada pada waktu kejadian memandu Perodua Viva dan merupakan bekas tunang kepada mangsa.

"Suspek didapati dengan sengaja melanggar kenderaan mangsa yang di parkir di tempat letak kenderaan. Pada masa kejadian, mangsa tidak berada dalam kenderaannya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, motif sebenar kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berikutan pertunangan mereka yang putus.

"Sehubungan itu, suspek ditahan reman untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Sek 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum itu, video berdurasi 30 saat memaparkan sebuah Perodua Viva yang dipandu suspek bertindak mengundurkan kenderaannya dan didapati dengan sengaja melanggar sebuah lagi kenderaan lain yang sedang parkir di kawasan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!