PROTUNe pupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar
ALOR SETAR - Program Tunas Niaga (PROTUNe) wajar diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih banyak sekolah kerana ia membantu membentuk budaya keusahawanan kalangan pelajar.
Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasruddin berkata, ia selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) dalam menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang 2030.
Menurutnya, bagi menjayakan hasrat itu, program-program yang dapat membentuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar seperti PROTUNe amat digalakkan.
“Warga pendidik mempunyai tanggungjawab besar membimbing pelajar untuk melahirkan golongan cendekiawan dan usahawan yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Diharap pelajar mengambil pengalaman daripada program ini untuk menyediakan diri menjadi usahawan berjaya pada masa hadapan.
"Semua pihak perlu menyumbang tenaga dan idea supaya perubahan secara komprehensif dalam era digital dan persekitaran yang mencabar dapat dihadapi pelajar,” katanya selepas merasmikan Konvensyen PROTUNe 2021 peringkat negeri Kedah di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Pentadbiran dan Kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Hakim Ariff Md Noor dan Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad.
Program kolaborasi bersama PKNK dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) itu adalah inisiatif Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan selain menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Azman berharap dana dapat disalurkan secara berterusan kepada PKNK dalam memastikan kesinambungan program berkenaan.
“Tahun ini penyertaan 80 buah sekolah di Kedah, diharap lebih banyak sekolah melibatkan diri kerana ia memberi satu dimensi baru kepada pelajar untuk terdedah dengan keusahawanan.
"Mereka mungkin ada asas dalam perniagaan, namun PROTUNe memberi pendidikan menyeluruh bagaimana untuk mengendalikan syarikat,” katanya.
Sementara itu, Hakim Ariff memberitahu, pada tahun 2019, sebanyak 40 sekolah dengan 200 pelajar menjayakan program berkenaan, namun pada 2020 ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya akibat pewartaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala pada 2021 melibatkan 28 sekolah.
“Tahun lalu modul PROTUNe diubah suai mengikut situasi semasa, iaitu peralihan perniagaan secara fizikal kepada dalam talian, seperti kaedah jualan melalui platform Shopee dan cash on delivery. Kursus kepada guru dan pelajar dijalankan secara dalam talian semasa tempoh PKP.
“Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena berjaya menggunakan platform Shopee bagi penjualan pokok keladi dan pokok bunga ros, dengan masing-masing memperoleh keuntungan melebihi RM20,000,” katanya.
Menurutnya, pada 2019, jumlah keseluruhan jualan adalah RM379,799 dan jumlah keuntungan RM146,566.
“Tahun 2021 pula, jumlah jualan menjangkau RM213,602 dengan jumlah keuntungan RM82,485. Walaupun negara dilanda Covid-19, pencapaian ini amat memberangsangkan. Program PROTUNe meninggalkan impak positif bukan sahaja kepada pelajar, tetapi sekolah yang terlibat,” katanya.
Beliau berharap setiap syarikat dan perniagaan yang dijalankan di sekolah masing-masing diteruskan kerana ia merupakan asas perniagaan yang baik selain mampu memberi pulangan kepada sekolah terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!