'Urus stadium pun gagal, bagaimana hendak urus negara'- Noh

Noh (tengah) bersama peserta Program Malaysia Super League Peringkat Negeri Selangor di Dwi Emas Internasional School pada Sabtu.
Noh (tengah) bersama peserta Program Malaysia Super League Peringkat Negeri Selangor di Dwi Emas Internasional School pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor disifatkan gagal dan bersikap lepas tangan dalam menguruskan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau kesal dengan perkembangan isu Stadium Shah Alam termasuk tindakan kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak lain untuk menguruskannya.

"Kalau hendak buat baharu atau pun hendak runtuh tapi saya tengok kerajaan negeri sudah tidak mampu menguruskan stadium, semalam (Jumaat) saya tengok dia serah kepada syarikat swasta.

"Jadi saya hendak nyatakan sekali lagi, kalau kerajaan negeri nak menguruskan stadium pun tidak pandai, macam mana hendak urus negara, itu yang saya hendak beritahu," katanya pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Malaysia Super League Peringkat Negeri Selangor di Dwi Emas Internasional School di sini.

Pada Jumaat, kerajaan Selangor memutuskan Stadium Shah Alam yang menjadi ikon kepada pembangunan sukan negeri itu memerlukan satu pembaharuan dan diberi nafas baharu.

Ketika Majlis Penyerahan Surat Niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarikat terbabit diminta menyerahkan cadangan terperinci mengenai pelan penambahbaikan atau pembangunan semula stadium berkenaan.

Menurut Amirudin, menerusi penyerahan LOI itu, MRCB akan mengadakan perbincangan terperinci dengan kerajaan negeri berkaitan pelan pembangunan stadium yang berusia hampir 30 tahun dan kawasan di sekitarnya.

Dalam pada itu, Noh turut mempersoalkan bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah Selangor dalam tempoh 14 tahun tidak mampu untuk menguruskan kemudahan ikonik tersebut.

"Dari tahun 2008 hingga 2022, sudah 14 tahun boleh tidak tahu hendak urus stadium, Menteri Besar kata tiap-tiap tahun dia berikan peruntukan untuk membuat penyelenggaraan stadium.

"Tetapi seperti mana saya sebut semalam, bila saya tengok peruntukan yang dibentang dalam Dewan Undangan Negeri, tidak ada pun peruntukkan khusus diberikan kepada Stadium (Shah Alam).

"Itu sebab kita tidak hairan apabila PH ini memerintah Malaysia dulu, 22 bulan (sahaja) rakyat pun tukar kerajaan, hendak urus stadium pun tidak reti," katanya.

Katanya lagi, sepatutnya selepas mengambil alih kerajaan negeri, PH perlu meneruskan usaha menjaga Stadium Shah Alam sebagai salah satu daripada mercu kejayaan bagi negeri Selangor.

"Ini kita rasa amat kesal, apa yang berlaku dan kita tengok negeri-negeri lain mereka boleh pertahankan stadium, ada stadium yang lebih lama dari kita pun ada masih lagi 'survive'," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!