Guru tahfiz berpeluang lanjut pengajian diploma, ijazah

Mohd Yusop (tiga dari kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Tandatangan Kolaborasi Pelaksanaan Program Latihan Keguruan Institut Tahfiz Swasta Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Negeri Perak pada Sabtu.
Mohd Yusop (tiga dari kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Tandatangan Kolaborasi Pelaksanaan Program Latihan Keguruan Institut Tahfiz Swasta Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Negeri Perak pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Guru-guru sekolah tahfiz swasta di Perak yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 Pengajaran Tahfiz, kini boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Pengerusi Persatuan Mahaad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap), Datuk Mohd Azlan Suhaimi berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan oleh persatuan dengan kerjasama Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (Ikdar) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Menurutnya, ia merupakan usaha Pematap menerusi pelan induk yang dirangka untuk menyasarkan seramai 500 guru tahfiz diikhtisaskan menjelang tahun 2025.

"Alhamdulillah dengan adanya program ini, kita dapat memberi satu penanda aras kepada maahad tahfiz di Perak ini memandangkan dalam silibus sijil ini ada pedagogi. Jika semua guru ada sijil ini, kita akan dapatkan standard dalam pengajaran tahfiz di negeri ini.

"Memang hasrat kita supaya ada hala tuju dalam sistem pendidikan tahfiz agar pelajar dapat satu kaedah pembelajaran yang efisien," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Tandatangan Kolaborasi Pelaksanaan Program Latihan Keguruan Institut Tahfiz Swasta Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Negeri Perak, di sini pada Sabtu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof serta Rektor Ikdar, Dr Muhammad Faizal Tahiruddin.

Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata, seramai 96 guru tahfiz telah menerima sijil berkenaan dan pada tahun ini manakala 75 lagi akan mengikuti pengajian peringkat sijil bagi memperoleh SKM Tahap 3 berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik usaha dilakukan USAS dengan menawarkan lanjutan pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di universiti itu.

Katanya, bukan sahaja kemahiran tahfiz dan pendidikan Islam, tetapi guru-guru ini juga berpeluang menyambung pengajian dalam bidang-bidang lain yang ditawarkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!