KD Lekir lakar sejarah lancar misil pertama luar perairan negara
KUALA LUMPUR - Kapal Diraja (KD) Lekir melancarkan misil Exocet MM40 di pesisiran pantai Hawaii, Amerika Syarikat dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 pada Selasa.
Kejayaan yang dilakar kapal jenis korvet kelas kasturi itu sekali gus menempa nama sebagai satu-satunya aset milik TLDM yang membuat penembakan misil di luar perairan negara.
Panglima TLDM, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, untuk latihan ini sasaran yang digunakan adalah Ex-USS Rodney M Davis, sebuah Guided Missile Frigate daripada kelas Oliver Hazard Perry (OHP).
"RIMPAC menyediakan platform terbaik untuk meningkatkan interoperability di antara angkatan laut yang mengambil bahagian.
"Penyertaan ini merupakan satu pengalaman yang menambah nilai profesionalisme kru KD Lekir," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, KD Lekir telah berjaya melancarkan misil dari jenis yang sama pada 22 Mei lalu semasa Eksesais Taming Sari 21/22 di Perairan Selat Melaka Utara sebagai persediaan untuk ke RIMPAC kali ini.
"Setelah dua minggu di pelabuhan, peserta RIMPAC telah keluar untuk latihan di laut selama 22 hari mulai 11 Julai yang melibatkan 38 kapal, empat buah kapal selam dan lebih daripada 170 buah pesawat milik 26 negara.
"Eksesais maritim antarabangsa terbesar dunia ini merupakan satu peluang latihan bersama pelbagai negara di samping mengukuhkan jalinan kerjasama di antara peserta.
“Saya pasti warga kapal sudah tidak sabar untuk menyertai edisi RIMPAC yang seterusnya,” katanya.
Penyertaan TLDM dalam Eksesais RIMPAC 2022 ini merupakan kali kedua selepas KD Lekiu mengambil bahagian pada tahun 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!