Langkah Soon Huat-Shevon terhenti di separuh akhir
BEREGU campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terlepas tiket final kejohanan Terbuka Malaysia, selepas langkah mereka terhenti di separuh akhir pada Sabtu.
Pada aksi mendebarkan selama 65 minit itu, Soon Huat-Shevon tidak memberi jalan mudah kepada Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai untuk melepasi halangan apabila mengheret gandingan Thailand itu ke set penentuan setelah menang set kedua 21-16.
Terdahulu, Soon Huat-Shevon yang juga pasangan kekasih itu tewas dalam set pertama 21-17.
Bagaimanapun, kesilapan mudah ketika pasangan negara terikat 20-20 pada set penentuan mengundang padah apabila terpaksa akur dengan kehebatan Dechapol-Sapsiree 22-20.
"Lawan kami bermain dengan baik. Mereka lebih agresif dan stabil dari segi perancangan permainan dan pukulan yang konsisten.
"Saya agak gementar sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah pada saat-saat akhir,” kata Shevon Lai.
Sementara itu, Soon Huat-Shevon melahirkan penghargaan kepada penyokong sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang perlawanan mereka walapun bukan dalam kalangan rakyat Malaysia yang melaungkan kata-kata semangat ‘Malaysia Boleh’.
Dechapol-Sapsiree yang juga pilihan pertama kejohanan akan membuat perhitungan akhir dengan pasangan China Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping pada aksi final esok.
Terdahulu, Wang-Huang yang juga pilihan ketiga menang mudah ke atas rakan senegara Guo Sin Wa-Zhang Shu Xian 21-8, 21-9. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!