Maszlee mahu hidupkan kembali Program Sarapan Percuma

Dr Maszlee . Foto Sinar Harian ROSLI TALIB.
Dr Maszlee . Foto Sinar Harian ROSLI TALIB.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mahu Program Makanan Percuma yang hampir dilaksanakan pada tahun 2019 dihidupkan semula.

Justeru, beliau mengharapkan sokongan daripada ahli dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bersamanya dalam memperjuangkan program itu.

Menurut Maszlee, perjuangannya sebelum ini tidak mendapat sokongan daripada pemimpin partinya dan beliau hanya berseorangan memperjuangkan program itu termasuklah semasa bergelar ahli Parlimen bebas.

“Kali ini berbeza sebab saya bersama PKR. Jadi, saya minta sokongan akar umbi dan pimpinan parti untuk bersama-sama memperjuangkan Program Sarapan Percuma sebagaimana yang diperjuangkan pada 2019 lalu namun ia dihentikan.

“Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tahu tentang perkara ini kerana dalam kabinet, hanya Kak Wan yang menyokong saya.

“Apa yang penting adalah kita nak hentikan derita rakyat. Parti kita menjulang keadilan, parti kita parti mengangkat pendidikan," katanya ketika membahaskan usul pendidikan pada Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, usaha mereformasikan pendidikan harus bermula dengan Perdana Menteri dan tidak boleh diserahkan kepada Menteri Pendidikan semata-mata kerana kuasanya yang terhad.

Jelasnya, Perdana Menteri perlu ada visi pendidikan dan memahami derita rakyat.

“Jika inginkan Perdana Menteri yang boleh sokong revolusi pendidikan sebenar, faham jiwa rakyat dan membawa negara ke hadapan, cadangan saya tak lain tak bukan, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!