Azroy sambar petak utama

Azroy mencatatkan masa terpantas kategori CP150 pada sesi kelayakan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Jempol petang tadi.
Azroy mencatatkan masa terpantas kategori CP150 pada sesi kelayakan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Jempol petang tadi.
A
A
A

PELUMBA Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar mencatat masa terpantas dalam kategori CP150 pada sesi kelayakan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Jempol, Negeri Sembilan petang tadi.

Azroy mencatatkan masa 44.119 saat (s) bagi mengatasi pencabar terdekatnya, Md Izzat Zaidi Md Salehan daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang menamatkan saingan dengan catatan 44.130s.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Haziq Md Fairues pula akan memulakan perlumbaan di petak ketiga selepas mencatatkan masa 44.336s.

"Sesi kelayakan hari ini berjalan lancar dengan keadaan jentera yang bagus. Pada awal sesi berkenaan, saya cuba membawa jentera saya dengan lebih laju dan berjaya mencatatkan masa baru.

"Malangnya, saya juga ditimpa kemalangan kerana saya melebihi had tetapi bernasib baik kerana tidak cedera. Bagi perlumbaan esok, saya akan bekerja keras dan berharap dapat menaiki podium," kata Azroy.

Dalam kategori CP125, pelumba pasukan Honda KC Racing, Md Haziq Md Hamdan mengungguli saingan kelayakan apabila merakam masa terpantas dengan catatan 46.681s.

Pelumba ONEXOX TKKR Racing, Md Syafiq Rasol berada di kedudukan kedua dengan catatan 46.718s manakala Md Aliff Danial Md Asri daripada Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor ketiga (46.839s).

Bagi kategori Wira KBS, tiga pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing mendominasi kedudukan tiga teratas dengan Md Danish Aiman Zamrul muncul terpantas.

Md Danish mencatatkan masa 47.598s untuk mengatasi rakan sepasukannya, Md Syamil Amsyar Md Iffende kedua (47.714s) dan Md Adam Haikal Jahar ketiga (47.726s).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!