Tragis, anak sahkan mayat rentung
LANGKAWI - Tiga mayat rentung yang ditemui dalam kebakaran sebuah rumah di Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Tepa, Bukit Malut, disahkan merupakan pasangan suami isteri dan anak lelaki bongsu kepada pasangan itu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Nahar Suhaimi, 39, Nor Suhaila Ahmad, 41 dan anak bongsu kepada pasangan itu, Mohd Naufal Mohd Nahar, 6, rentung dalam kejadian 7.00 pagi tadi.
Menurutnya, mayat Mohd Nahar ditemui rentung 100 peratus di ruang tamu rumah, manakala isteri dan anaknya yang ditemui rentung dalam sekitar 80 peratus di bilik air.
“Pengecaman semua mayat yang ditemui disahkan anak kedua pasangan terbabit, Nursyafinas, 18, yang tiba di tempat kejadian,” katanya.
Mohd Iqbal berkata, pengecaman disahkan berdasarkan baju yang dipakai wanita itu manakala kanak-kanak malang itu disahkan berdasarkan wajah mangsa.
“Anak mangsa tidak dapat membuat pengecaman mayat bapanya kerana rentung seratus peratus, namun dipercayai cebisan mayat itu milik mangsa,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Tiga beranak maut dalam kebakaran
Menurutnya, Nursyafinas dan seorang lagi anak pasangan itu pulang ke sebuah lagi rumah mereka di tempat lain malam semalam, menyebabkan mereka terselamat dalam kejadian itu.
Mohd Iqbal berkata, rumah mangsa yang juga tauke bot ikan itu agak terpencil dari kawasan kejiranan dan terletak di tepi sungai.
“Ketika kejadian, pintu hadapan rumah berkunci dari dalam. Api dikatakan bermula dari bahagian belakang rumah dan ketika bomba tiba, rumah itu sudah terbakar lebih 70 peratus,” katanya.
Menurutnya, polis masih menunggu hasil siasatan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mengetahui punca kejadian.
“Buat masa ini, kawasan berkenaan dikawal dengan perimeter polis bagi mengelakkan pencemaran di tempat kejadian. Bahagian Forensik Bomba dari Alor Setar dan pasukan forensik IPK Kedah dipanggil untuk jalankan siasatan bagi menentukan punca kebakaran,” katanya.
Mohd Iqbal berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat pada keesokan hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!