Anugerah pemain terbaik bakar semangat Aysar
ANUGERAH Pemain Terbaik Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) AFF 2022 yang diraih akan terus membakar semangat pemain muda negara, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri untuk berjaya dalam kariernya.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu, yang juga kapten skuad B-19 kebangsaan berkata, pencapaian individu tersebut memberinya semangat dalam usaha membina nama tersendiri di pentas bola sepak tempatan dan Asia.
"Saya akan tetap bekerja keras untuk membina nama, bermain demi pasukan saya JDT II dan pasukan negara. Jadi ia (anugerah) akan menjadi satu titik permulaan untuk karier saya sebagai pemain bola sepak," katanya dalam sidang media selepas perlawanan akhir antara Malaysia dan Laos pada Jumaat.
Pada final di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi, Indonesia itu, skuad B-19 kebangsaan bimbingan Hassan Sazali Waras menjinakkan Laos 2-0, sekali gus melunaskan dendam kekalahan 0-1 kepada lawan sama pada aksi terakhir Kumpulan B, Isnin lepas.
Pemain pertahanan, Muhammad Faiz Amer Runnizar dan Muhammad Aliff Izwan Yuslan masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-14 dan ke-76 pada pertembungan yang berlangsung sengit itu.
Kejayaan itu turut memastikan Malaysia meraih gelaran kedua dalam tempoh empat tahun selepas buat julung kali muncul juara pada edisi 2018.
Ahmad Aysar menzahirkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pemilik JDT dan semua kelab tempatan yang melepaskan pemain masing-masing untuk beraksi di kejohanan itu.
"Perasaan saya susah untuk diungkapkan, kami lakukan yang terbaik...kesemua pemain, jurulatih, disiplin...kami lakukan semua yang dirancang dan ia berhasil, susah nak ungkapkan perasaan ini tetapi kami menikmati perasaan dan kejayaan yang kami telah cipta," katanya.
Skuad B-19 kebangsaan selepas ini dijadual beraksi pada pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023 di Mongolia, September nanti.
Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara terbanyak sebanyak 12 kali iaitu Korea Selatan, selain Sri Lanka dan pasukan tuan rumah untuk merebut slot 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik ke pusingan akhir yang dijadual pada Mac tahun hadapan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!