10 maut, dua cedera diserang pemisah di Papua

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JAKARTA - Sebuah kumpulan pemisah menyerang orang awam di daerah Nduga, Wilayah Papua, menyebabkan 10 terbunuh dan dua lagi parah, kata jurucakap polis.

Kumpulan itu yang digelar kerajaan Indonesia sebagai kumpulan penjenayah bersenjata (KKB) melancarkan serangan di empat lokasi di daerah berkenaan, lapor Xinhua memetik jurucakap polis wilayah, Ahmad Mustafa Kamal.

Dalam satu serangan, seramai 20 anggota kumpulan bersenjatakan tiga senapang dan sepucuk pistol, menyerang hendap sebuah lori membawa orang awam, katanya.

"Ketika lori berhenti, ia ditembak (beberapa kali) dari jarak 50 meter,” kata jurucakap itu ketika dihubungi Xinhua.

Menurutnya, mayat ditemukan di lokasi serang hendap itu serta tiga lokasi serangan lain, termasuk mangsa yang cedera.

"Keseluruhannya, 10 maut dan dua lagi cedera. Semua adalah orang awam,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!