Cabaran besar dihadapi mahasiswa
BARISAN mahasiswa yang diibaratkan generasi pelapis negara telah terdesak untuk menyuarakan isu peningkatan kos sara hidup dan inflasi makanan dengan mengadakan protes jalanan di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Adegan protes itu tercetus susulan Malaysia dilanda krisis inflasi makanan, lonjakan harga barang keperluan dan pemansuhan subsidi terpenting sejak kebelakangan ini.
Variasi lapisan rakyat bermula daripada pengguna, peniaga sehingga figura politik telah tampil menyuarakan beban serta cabaran besar dihadapi itu.
Kini telah turut sekali adalah golongan anak muda dan mahasiswa yang tampil menunjukkan solidariti mereka dengan mengadakan protes demi menangani isu cukup serius itu.
Akhbar harian Tamil, Makkal Osai telah melaporkan warga mahasiswa di beberapa IPT tertekan dengan lonjakan harga barang yang menjejaskan kelangsungan hidup mereka.
Justeru, anak-anak muda dengan berani menuntut kepada kerajaan untuk menyelesaikan krisis tersebut secepat mungkin.
Seorang mahasiswa yang merupakan Setiausaha Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ooi Kuo Shen meluahkan kesempitan yang terpaksa dilalui golongan mahasiswa di IPT sehingga ada yang hidup dalam kelaparan.
Mahasiswa berlatar belakang keluarga berstatus pendapatan B40 agak teruk menerima tempias daripada krisis inflasi makanan.
Ia menyebabkan mereka menjalani kehidupan harian dalam kelaparan atau hanya makan sekali sehari sahaja.
Kumpulan mahasiswa itu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan daripada ibu bapa mereka yang turut bertarung usaha untuk menjana pendapatan sehingga hampir gagal menyalurkan duit perbelanjaan harian disebabkan kos sara hidup yang melambung tinggi.
Menurut Makkal Osai, segelintir mahasiswa juga telah menyatakan hasrat mereka dalam laman media sosial bahawa adalah lebih baik proses pembelajaran dijalankan secara talian di kediaman mereka agar isu kelaparan atau tidak cukup makan dapat diselesaikan.
Krisis inflasi makanan dan lonjakan harga barang keperluan sememangnya telah menjadi beban baharu serta cabaran besar kepada mahasiswa di IPT seluruh negara.
Ujar Makkal Osai lagi, bagi menampung kos pembelajaran dan perbelanjaan harian, mahasiswa dikehendaki mencari pekerjaan sampingan di luar IPT.
Bantuan kewangan diterima daripada pihak kerajaan hanya mencukupi untuk melangsaikan bayaran yuran pembelajaran, peperiksaan dan kolej kediaman.
Segelintir mahasiswa yang tidak mendapat bantuan kewangan tambahan daripada keluarga masing-masing perlu mengimbangi perbelanjaan mereka dengan duit pekerjaan sampingan tersebut.
Tekanan seumpama itu yang dihadapi oleh mahasiswa tentu menjejaskan kelancaran pembelajaran mereka dan mengundang masalah stres dalam usia muda.
Sehubungan itu, Makkal Osai mengesyorkan kepada pihak kerajaan dan tampuk kepimpinannya untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengawal kenaikan harga barang keperluan serta makanan di universiti-universiti tempatan.
Bantuan kewangan tambahan juga perlu disalurkan kepada mahasiswa daripada keluarga miskin dan miskin tegar agar masalah kelaparan yang dihadapi dapat ditangani melalui keprihatinan pihak kerajaan.
*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!