Dua remaja maut, dua cedera kereta terbabas masuk parit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu dan penumpang kereta yang terbabas dan terjunam ke dalam parit di Kilometer 14.3 Lebuhraya Iskandar Sultan, Johor Bahru, pada Ahad
Anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu dan penumpang kereta yang terbabas dan terjunam ke dalam parit di Kilometer 14.3 Lebuhraya Iskandar Sultan, Johor Bahru, pada Ahad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua remaja lelaki lemas manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum menjunam ke dalam parit di Kilometer 14.3 Lebuhraya Iskandar Sultan menghala ke Johor Bahru di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu membabitkan kereta Proton Wira dinaiki tiga penumpang dan seorang pemandu berusia 15 hingga 18 tahun yang telah hilang kawalan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta tersebut melanggar pembahagi jalan di lorong kanan dan terbabas ke kiri jalan kerana hilang kawalan selepas melalui selekoh. Kereta itu masuk ke dalam parit besar dipenuhi air lalu menyebabkannya tenggelam.

"Mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang hadapan kenderaan yang masing-masing berusia 18 tahun, manakala dua penumpang belakang iaitu seorang lelaki berusia 16 tahun dan seorang perempuan berusia 15 tahun cedera," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, kedua-dua mangsa yang maut dikeluarkan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia manakala dua penumpang belakang kereta berjaya menyelamatkan diri.

"Kedua-dua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar memberitahu, seramai 11 pegawai dan anggota beserta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian berhampiran Hotel Tune, Danga Bay.

Katanya, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa yang terperangkap disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Operasi selesai jam 3.08 pagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!