Haji: Jemaah Malaysia mula pulang
MAKKAH - Jemaah haji Malaysia mula pulang ke tanah air bermula Ahad dan pastinya kenangan melaksanakan ibadah itu akan terus kekal dalam ingatan.
Bagi petugas Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah, operasi menyantuni tetamu ALLAH masih belum berakhir sehingga semua jemaah selamat sampai ke tanah air.
Menerusi tinjauan Bernama, sepanjang musim haji 1443 Hijrah ini, petugas TH yang menjadi tulang belakang kepada jemaah haji, sentiasa memberi perkhidmatan terbaik malah ada ketikanya melebihi bidang tugas mereka.
Bersama matlamat memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadah rukun Islam kelima itu, semua petugas termasuk bahagian pentadbiran, operasi, media serta perubatan akan berganding bahu agar setiap perancangan dapat dilaksanakan.
Mengimbau perjalanan membawa kesemua jemaah ke Arafah, petugas perubatan pastinya antara yang tidak menang tangan, apatah lagi ada antaranya perlu diuruskan dengan teliti kerana tidak berupaya bergerak.
Petugas Perubatan, Luqman Chong Abdullah Chong berkata pada 8 Zulhijah, beliau telah mula bertugas seawal 4 pagi dan mengejutkan pesakit lelaki supaya bersiap dan memakai ihram.
Beliau yang berpeluang bertugas sebanyak tiga kali pada musim haji berkata, momen memakaikan ihram pada pesakit sentiasa menyentuh perasan kerana rata-rata akan menangis dan meluahkan perasaan mengenai musibah yang menimpa sedangkan mereka datang ke Tanah Suci dalam keadaan sihat.
"Tahun ini di wad saya bertugas ada sembilan pesakit iaitu lima lelaki dan empat wanita yang perlu menaiki bas atau Safari Wukuf.
"Majoriti pesakit mengalami masalah jantung, ada juga yang mengalami masalah buah pinggang, jangkitan kuman serta sakit belakang yang kronik sehingga tidak boleh bergerak sendiri dan hanya terlentang di katil.
Pesakit ini memang perlu bantuan sepenuhnya untuk berjalan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Luqman Chong berkata, pengorbanan dilakukan terlalu kecil berbanding ketabahan yang perlu ditanggung pesakit apatah lagi apabila mendengar doa, rintihan kesakitan dan kesedihan mereka sejurus tiba di Arafah.
Menurut TH, seramai 24 jemaah haji Malaysia masih dirawat di hospital Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Pusat Perubatan TH di sekitar Makkah.
Namun, daripada jumlah tersebut hanya dua kes sahaja melibatkan rawatan lanjut dan keadaan sedemikian pastinya memerlukan pemantauan petugas TH kerana perlu menguruskan kebajikan sehingga sihat serta merancang jadual penerbangan pulang mereka ke tanah air.
Seorang jemaah, Ahmad Ainullutfi Azzman, 29, berkata petugas TH terutama di tempat penginapannya iaitu Maktab 46 sentiasa memberi yang terbaik hingga ada terlupa bahawa mereka sendiri sedang sakit.
"Ada yang sampai demam.
Ada juga yang sampai hilang suara... ada hari tertentu dah tak boleh nak bangun.
Semua untuk memastikan jemaah haji sentiasa selesa.
Ketika di Muzdalifah, saya yang jadi sukarelawan Sahabat Maktab berkawal bersama petugas dari tengah malam sampai subuh.
"Selepas selesai subuh di Muzdalifah, bergerak pula ke Mina, nak kena uruskan perkhemahan.
Awalnya ada yang berebut tempat tetapi lepas disusun dengan kerjasama jemaah haji, banyak kosong lagi rupanya.
Itulah pentingnya peranan petugas dan elak macam-macam masalah,” katanya yang bersendirian ke Tanah Suci menerusi penerbangan KT1.
Ahmad Ainullutfi yang akan berangkat ke tanah air hari ini berkata kenangan beribadah akan terus terpahat di ingatan dan peluang membantu warga emas akan menjadi pendorongnya untuk terus berbuat kebaikan pada masa akan datang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!