Malaysia kekal sifar kes malaria manusia

Dr Noor Azmi (tengah) membuat lawatan di ruang disediakan sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah pada Ahad.
Dr Noor Azmi (tengah) membuat lawatan di ruang disediakan sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Malaysia masih mengekalkan sifar kes malaria manusia jangkitan tempatan sehingga kini sejak tahun 2018.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kes-kes yang direkodkan ketika ini hanya membabitkan kes malaria zoonotik dan kes import.

Menurutnya, sehingga minggu epidemologi 27/2022, sebanyak 1,447 kes malaria dicatatkan dengan 1,311 adalah kes malaria zoonotik yang disebabkan haiwan, 132 kes import dan empat kes introduced.

"Dari segi kematian pula, sebanyak 7 kes dicatatkan dengan masing-masing dua di Terengganu dan Sabah, masing-masing satu di Batu Bahat, Johor, Kanowit, Sarawak dan Raub, Pahang.

"Sungguhpun begitu, situasi jangkitan malaria di negara ini masih terkawal dan rendah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Bulatan Sultan Azlan Shah pada Ahad.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, biarpun kes malaria di negara ini terkawal, masyarakat diingatkan untuk tidak leka dan peka terhadap keadaan sekeliling serta merujuk kepada agensi berkaitan jika terdapat gejala seperti demam, rasa sejuk menggigil, panas berpeluh, lemah badan dan sakit kepala.

Menurutnya, semua pekerja terutama warga asing dalam sektor komersil seperti perladangan, perlombongan, pembinaan dan sebagainya yang melaksanakan kerja di kawasan hutan digesa menjalani pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria.

Jelasnya, golongan tersebut mempunyai risiko untuk dijangkiti malaria dan pihak majikan diharap dapat membekalkan pekerja mereka dengan keperluan bagi mengelak gigitan nyamuk yang menyebabkan penyakit tersebut.

"Sejak tahun 1961 lagi, kerajaan telah melaksanakan beberapa program dalam usaha mengawal malaria seperti Program Eradikasi Malaria, Program Kawalan Malaria dan Pelan Strategik Eliminasi Malaria Kebangsaan 2011-2020.

"Beberapa inovasi juga telah diperkenalkan sebagai usaha menangani malaria seperti Outdoor Residual Spray (ORS) untuk kawalan malaria zoonotik, penggunaan Geographical Information System (GIS) dan sebagainya," jelas Dr Noor Azmi.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga turut menzahirkan penghargaan kepada agensi kerajaan dan syarikat swasta yang berperanan membantu kerajaan memastikan kes jangkitan tempatan rendah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!