Tanaman baharu musang king dihentikan sejak Disember 2020

Sultan Sallehuddin (tengah) berkenan mencemar duli ke Program Penanaman Pokok sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman, Jitra pada Ahad. Turut hadir Muhammad Sanusi (kiri) dan Muhammad (dua dari kiri).
Sultan Sallehuddin (tengah) berkenan mencemar duli ke Program Penanaman Pokok sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman, Jitra pada Ahad. Turut hadir Muhammad Sanusi (kiri) dan Muhammad (dua dari kiri).
A
A
A

JITRA - Kerja-kerja penanaman baharu pokok durian musang king di Gunung Inas, Baling dihentikan selepas menerima arahan daripada kerajaan negeri Kedah pada Disember 2020 dan Mac 2021.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah bagaimanapun berkata, pengusaha ladang terbabiit masih lagi dibenarkan untuk menyelenggarakan tanaman pokok-pokok durian yang sudah ditanam di kawasan itu.

"Apabila arahan diterima dari kerajaan negeri pada Disember 2020 dan Mac 2021, kita tak benarkan lagi penanaman pokok durian baharu dibuat tetapi mereka boleh masuk untuk buat penyelenggaraan ke atas pokok-pokok yang sudah ditanam.

"Sebabnya ada Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) yang perlu mereka patuhi seperti membaiki jalan, longkang dan sebagainya.

"Nak membaja atau merumput kita benarkan tetapi jika mahu tanam pokok durian musang king yang baharu, kita tak benarkan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Program Penanaman Pokok Bersama Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman, Jitra dekat sini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, laporan tambahan berkaitan Gunung Inas juga telah diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Sultan Sallehuddin (empat dari kiri) berkenan mencemar duli ke Program Penanaman Pokok sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman, Jitra pada Ahad. Turut hadir Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) dan Muhammad (dua dari kiri).
Sultan Sallehuddin (empat dari kiri) berkenan mencemar duli ke Program Penanaman Pokok sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman, Jitra pada Ahad. Turut hadir Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) dan Muhammad (dua dari kiri).

Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan yang terdedah di Gunung Inas tidak boleh dibiarkan terlalu lama sebaliknya perlu cepat ditanam dengan pokok-pokok berkaitan.

"Kami telah memaklumkan kepada kerajaan negeri agar segera menanam pokok-pokok di kawasan yang terdedah di Gunung Inas dengan segera.

"Mengenai spesis pokok yang akan ditanam, itu akan kita bincangkan dengan kerajaan negeri semula. Sama ada tanaman litup bumi atau pokok-pokok berkayu, akan kita bincangkan nanti," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad menambah, tiada sebarang salah laku dikesan pada projek musang king kerana sudah mendapat kelulusan kerajaan negeri dan EIA sebelum dilaksanakan namun semakan lanjut akan dilakukan sama ada projek tersebut mematuhi jenis tanaman mengikut kelulusan yang diberikan.

Pada Sabtu, media melaporkan 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama penduduk di Kampung Iboi, Kupang mendesak kerajaan supaya menghentikan serta-merta tanaman ladang durian musang king itu.

Mereka mendakwa projek tersebut menjadi antara punca tragedi banjir dan kepala air sehingga mengorbankan tiga nyawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!