WUIF sumbang kelengkapan solat kepada mangsa banjir di Baling
BALING - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyampaikan sumbangan kelengkapan peribadi dan solat serta al -Quran kepada penduduk yang terjejas akibat kepala air di Kupang di sini.
Penolong Pengurus Operasi Bisnis (WUIF), Rozalina Mohamed berkata, sumbangan itu adalah inisiatif yang diambil bersama Rumah Ngaji iaitu ejen penggerak (WUIF).
Katanya, sumbangan pertama telah disalurkan pada 8 Julai lalu kepada penduduk di Kampung Hangus dan sumbangan kedua akan diedarkan pada 19 Julai ini.
"WUIF bukan sahaja fokus kepada program berunsurkan keagamaan sahaja malah kita juga mengambil berat setiap musibah atau bencana yang melanda negara," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sumbangan yang disampaikan diharap dapat meringankan beban penduduk terjejas.
"Kita melihat sendiri kerosakan yang berlaku di perkampungan terbabit akibat kepala air berkenaan.
"Saya juga difahamkan belum ada pihak yang menyumbangkan al-Quran, jadi ini adalah salah satu usaha kita tambahan pula penduduk di sini juga majoriti beragama Islam," katanya.
Hashim Junus, 82, berkata, kelengkapan solat dan juga al-Quran adalah sumbangan yang sangat berharga buat penduduk.
"Terima kasih kerana datang dari jauh untuk sampaikan sumbangan kepada kami, al-Quran adalah sumber kekuatan ketika kami semua diuji dengan musibah sebegini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!