Rafizi 'lemah' tidak mampu sanggah kenyataan saya: Najib

Tangkap layar kenyataan di Facebook Najib.
Tangkap layar kenyataan di Facebook Najib.
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebagai ‘lemah’ kerana tidak mampu menyanggah kenyataannya di Facebook selama ini.

Najib berkata, bagi menutup kegagalan itu, hari ini Rafizi mengarahkan pula ahli PKR untuk buat laporan polis mendakwa dirinya berbohong sebab takut.

“Saya takut? Bulan Mac lalu setelah dia keluar gua, dia janji akan sangkal setiap posting saya sebab kononnya saya telah rampas peranan naratif rakyat dari PH dan dia nak rampas balik.

“Setelah empat bulan berkali-kali gagal untuk sangkal saya macam budak kalah main guli, hari ini dia arahkan semua ahli PKR pula supaya bantu dia,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Najib mempertahankan, apa yang ditulis di Facebooknya selama ini adalah berdasarkan fakta dan asas.

“Menipu dalam media sosial bukanlah jenayah selagi ia tak hasut rakyat untuk ajak turun ke jalan raya dan jika benar salah, dah 10 tahun Rafizi melingkup kat dalam dah (penjara), siapa tak tahu dia raja formula songsang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihak berkenaan pernah mengatakan dirinya tidak popular namun kini, mengapa perlu disangkal kalau tidak popular.

“Tak apa. Selepas ini, saya akan buat satu posting yang panjang khusus untuk Rafizi dan semua ahli PKR untuk sangkal saya. Tunggu, ya," ujarnya.

Pada Kongres Nasional PKR 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad, Rafizi menetapkan beberapa tugas yang perlu dipikul ahli parti dalam tempoh terdekat antaranya menyanggah kenyataan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebagai permulaan, Rafizi meminta semua perwakilan di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib ekoran Ahli Parlimen Pekan itu didakwa memainkan isu perkauman dan meracuni pemikiran rakyat.

Rafizi berkata, Najib tidak boleh dibiarkan bermaharajelela dan tugas pertama ahli PKR selepas kongres ini ialah sanggah propaganda Najib hingga dia dipenjarakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!