Kembara Sihat, Ziarah Senyum 2019 tiba di Melaka
MELAKA TENGAH - Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri turut diberi peluang menjayakan program 'Kembara Sihat, Ziarah Senyum 2019' yang diadakan di Melaka hari ini.
Program membabitkan konvoi jelajah seluruh negara itu bermula di negeri Johor sejak 30 Mac lalu dan singgah di Melaka hari ini sebelum berakhir di Jitra, Kedah 7 April depan.
Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman berkata, program tersebut adalah anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan bersama JKM serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Selain itu, turut diberi perhatian adalah soal kebajikan, silaturahim, persahabatan, perpaduan selain menggalakkan penglibatan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kesukarelawan untuk mempromosikan kesihatan.
"Selain mengadakan pameran dan ceramah beberapa aktiviti turut dijalankan seperti pemeriksaan kesihatan dan pergigian dan membersih serta mengemas kawasan persinggahan," katanya.
Katanya ketika ditemui pada majlis yang dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Kanan Pergigian, Jabatan Kesihatan negeri, Dr Harlina Ali Hanafiah di pejabat JKM Daerah Alor Gajah di sini, hari ini.
Menurutnya, objektif utama program tersebut untuk memperkasakan masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan.
Azlin berkata, turut diadakan majlis penyerahan sumbangan kepada kumpulan sasar seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penerima bantuan JKM.
McDonald dan Nestle Malaysia turut menaja makanan ringan dan sarapan sihat kepada peserta dan tetamu diraikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!