Pengguna dakwa susur keluar Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai berbahaya
KOTA BHARU - Pengguna jalan raya di Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dari Pasir Hor ke Ketereh di sini berdepan bahaya kemalangan di susur keluar ke Ketereh.
Lokasi itu dikatakan berisiko menyebabkan kemalangan atau boleh sahaja insiden membawa maut apabila pengguna jalan raya perlu menukar laluan dari lorong kanan ke kiri jalan tersebut dalam jarak dekat dan menggelak daripada merempuh tembok konkrit penutup jalan ke arah laluan menuju ke Kuala Krai dan Gua Musang yang belum siap.
Seorang pemandu e-hailing, Aedy Alias Mat Rusok, 38, berkata, dia menggunakan laluan itu pada setiap hari sejak tahun 2019 dari tempat tinggalnya di Kok Lanas untuk mengambil dan menghantar penumpang ke pelbagai destinasi.
Menurut Aedy Alias, laluan di lokasi tersebut agak bahaya walaupun menggunakannya pada waktu siang serta lebih berbahaya jika menggunakan jalan itu pada waktu malam kerana keadaaanya gelap dan ketika hujan.
“Pengguna yang biasa menggunakan laluan ini tetap akan terkejut apabila tiba berdekatan tembok konkrit tersebut untuk menukar lorong ke kiri jalan. Pengguna juga berisiko tinggi tersasar merempuh tembok diletakkan di lorong kanan jalan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Kata bekas pekerja pentadbiran lebuh raya di Sungai Buloh itu, lokasi tersebut perlu diletakkan tanda amaran lebih banyak disertai lampu keselamatan berkelip bagi memastikan orang awam waspada apabila sampai ke lokasi tersebut untuk bertukar lorong.
“Selain itu, papan tanda menuju ke Kuala Krai dan Gua Musang di lebuh raya itu juga menggelirukan pengguna kerana tidak ditutup sedangkan jalan ke dua daerah itu belum siap iaitu di lokasi yang ditutup dengan tembok konkrit tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Azizah Musa, 61, berkata, dia pernah hampir merempuh tembok konkrit berkenaan ketika menaiki kereta dipandu suaminya, Husin Yusof, 68, untuk pulang ke rumah mereka yang terletak bersebelahan lebuh raya berkenaaan pada Sabtu.
“Sebelum ini banyak lampu jalan di kawasan itu, tetapi sejak hampir sebulan lalu, hanya satu lampu jalan berhampiran dengan lampu isyarat yang menyala menyebabkan keadaan di kawasan ini gelap.
“Sepanjang lebuh raya ini dibuka dari Pasir Hor sehingga ke Ketereh, sudah banyak kemalangan berlaku termasuk kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal pada hujung minggu,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd Faris Mohd Puddin, 38, berkata, pihak berwajib perlu memastikan lampu jalan sedia ada di lokasi yang berisiko tersebut berfungsi dengan baik bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Keadaan jalan gelap dan separuh siap tersebut mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Lampu jalan sepatutnya sentiasa dinyalakan pada waktu malam dan perlu ditambah di kawasan berisiko tinggi kemalangan terutama di lebuh raya,” katanya.
Sinar Harian melaporkan, seorang pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta, Perak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dipandu bapanya merempuh tembok konkrit penutup jalan kerana faktor gelap di susur keluar ke Ketereh di Lebuh Raya Baru Perol di sini, pada Sabtu.
Kejadian berlaku pada jam 9.20 malam itu meragut nyawa Nurul Balkqis Nafisah Khairul Fazli, 16, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bagi pakej 1B Pasir Hor ke Kadok melibatkan laluan sejauh 10.5 kilometer (km) tersebut dibuka kepada kenderaan bermula 20 Ogos 2018.
Pembukaan bagi pakej 2A Kadok Ke Ketereh sepanjang 6.85 km pula dibuka pada 20 Oktober 2019.
Dalam pada itu, Sinar Harian masih menunggu maklum balas daripada pihak Jabatan Kerja Raya berhubung perkara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!