Liek Hou juara Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa

Cheah Liek Hou
Cheah Liek Hou
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki badminton para negara, Cheah Liek Hou merangkul kejuaraan kesebelasnya selepas menjuarai Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa 2022 di Dublin, Ireland, pada Ahad.

Pilihan utama Liek Hou, yang bermain dalam kategori SU5 (masalah fizikal) benar-benar berada dalam prestasi sensasi apabila dia mengambil masa 39 minit untuk menundukkan pemain pilihan kedua Jepun, Taiyo Imai, 21-17, 21-16, pada perlawanan akhir.

Penyandang juara Paralimpik itu turut merangkul kejuaraan kedua dalam kejohanan itu, kali ini bersama gandingannya, Muhamad Faris Ahmad Azri, selepas mengungguli kumpulan dalam acara beregu lelaki.

Pada perlawanan pertama, Muhamad Faris-Liek Hou mengalahkan Gullaume Gailly-Mathieu Thomas dari Perancis, 21-9, 21-10 diikuti dengan kemenangan kedua ke atas Nilesh Balu Gaiwad-Manoj Sarkar dari India, 21-6, 21-16.

Muhamad Faris-Liek Hou kemudian mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan pencabar terdekat mereka, Chirag Baretha-Hardik Makkar, juga dari India, 21-19, 21-17.

Walaupun memenangi satu lagi kejuaraan di Ireland, pemain nombor satu dunia itu mengakui tidak mahu terbawa-bawa dengan pencapaiannya di sana kerana dia sudah meletakkan sasaran untuk 'mengegarkan' Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia dari 30 Julai hingga 6 Ogos.

"Saya akan berlepas ke Solo pada 26 Julai, saya rasa temasya itu sangat besar kerana pemain Indonesia Dheva Anrimusthi yang saya bertemu di final Sukan Paralimpik Tokyo tahun lepas juga akan bertanding.

"Memandangkan mereka tuan rumah, ini satu cabaran bagi saya untuk menang di negara lawan dan saya juga harap tiada sebarang kecederaan sebelum dan ketika di Indonesia nanti,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Isnin.

Tahun lepas Liek Hou mengalahkan musuh ketatnya Dheva 21-17, 21-15, sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama memenangi emas Paralimpik dalam kategori SU5 perseorangan lelaki ketika sukan badminton membuat penampilan sulung di Paralimpik Tokyo.

Sementara itu pemain badminton berkerusi roda negara Muhammad Ikhwan Ramli dan pasangannya, Noor Azwan Noorlan mengungguli saingan selepas menewaskan pasangan Rick Cornell Hellmann-Thomas Wandschneider dari Jerman, 20-22, 21-17, 21-11, untuk dinobatkan sebagai juara beregu lelaki WH1 -WH2 (masalah fizikal).

Terdahulu Muhammad Ikhwan gagal memenangi acara WH1 perseorangan lelaki selepas tumpas kepada Hiroshi Murayama dari Jepun 10-21, 14-21. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!