Kerajaan sedang rangka subsidi bersasar: Ismail Sabri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan ketika ini sedang mencari mekanisme terbaik untuk merangka subsidi bersasar bagi memastikan rakyat yang berhak tidak tercicir atau tertinggal daripada menikmati subsidi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mekanisme itu memerlukan penelitian bagi memastikan ia mencapai matlamat sebenar.

“Dari segi subsidi bersasar saya telah pun sebutkan tadi. Bermula daripada beberapa kerajaan tapi sampai sekarang masih belum boleh dilaksanakan dan kerajaan hari juga pun telah sedang merangka subsidi bersasar tapi mekanismenya supaya tidak ada yang tercicir dan tidak ada tertinggal.

“Jadi (kerajaan sekarang), sedang mencari mekanisme sesuai supaya semua yang berhak mendapat subsidi akan mendapat subsidi. Saya pernah (berada) di Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai menteri, waktu itu kita hendak memberi subsidi bersasar untuk RON95. Banyak persoalan yang timbul, siapa yang berhak dapat dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanya mengenai tindakan kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kerajaan perlu memastikan setiap pelaksanaan yang ingin dibuat adalah demi kepentingan rakyat.

“(Contohnya) adakah kita perlu membeli gula atau minyak masak menggunakan kupon? Adakah kupon boleh digunakan atau menggunakan MyKad untuk membeli dan sebagainya. Ini yang sedang kita perincikan.

"Ini kita akan bentangkan di sini, apakah cara yang kita gunakan untuk subsidi bersasar ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!