Pemandu lori didakwa pandu melulu langgar 11 kenderaan
JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan sebanyak 11 buah kenderaan di Tambak Johor pada 7 Julai lalu.
Tertuduh, Amir Hasan Jalani, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.
Mengikut pertuduhan, Amir Hasan didakwa memandu lori di atas jalan raya secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan sebanyak 11 buah kenderaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Tambak Johor pada jam 9.25 pagi, 7 Julai lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah sama, syarikat Level Hill Auto Parts Sdn Bhd menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana membawa lebih muatan yang dibenarkan.
Lori yang dipandu Amir Hasan didakwa membawa muatan seberat 91,240 kilogram berbanding 41,000 kilogram (kg) yang dibenarkan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi dan masa yang sama.
Syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala tertuduh dan syarikat diwakili peguam, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon.
Hayatul Wirdah memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 manakala bagi syarikat pula jaminan dipohon sebanyak RM8,000.
Bustaman Menon bagaimanapun memohon jaminan rendah dikenakan kepada Amir Hasan kerana mempunyai empat anak yang masih kecil selain isterinya hanya suri rumah serta memiliki pendapatan dianggarkan sebanyak RM1,500.
Mahkamah kemudian membenarkan Amir Hasan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali dan syarikat sebanyak RM3,000.
Kes ditetapkan disebut semula pada 5 September depan.
Pada 7 Julai lalu, lori membawa muatan habuk batu dipandu Amir terlibat dalam kemalangan melibatkan 11 kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura, pada jam 9.25 pagi.
Video kemalangan melibatkan lori serta sembilan buah kereta termasuk kereta bernombor pendaftaran asing dan masing-masing satu van dan bas itu turut tular di laman sosial.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu manakala hasil ujian air kencing mendapati pemandu lori berkenaan negatif dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!