Usul tuntutan waris Sulu ditolak, MP Kota Belud digantung dua hari
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung dua hari berikutan tindakannya mempersoal usul yang ditolak tentang tuntutan Sulu.
Arahan itu dikeluarkan Timbalan Speaker, Mohd. Rashid Hasnon selepas menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mempengerusikan majlis ketika itu.
Persidangan Dewan rakyat sesi pagi pada Isnin bermula kecoh susulan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak usul yang dikemukan Isnaraissah Munirah.
Kekecohan bermula apabila Isnaraissah Munirah bangkit mempersoal keputusan Azhar Azizan yang tidak meluluskan usul kali ketiga yang dibawanya.
“Saya cukup hairan (dan) mahu tanya kerajaan Persekutuan sampai tahap apa yang bahas ini dibolehkan? Dibahaskan dalam dewan ini? Ini soal kedaulatan negara, bukan soal remeh-temeh.
“Saya mohon semua ahli-ahli Parlimen Sabah dan juga yang lain untuk berdiri memohon supaya usul ini dibincangkan, dibahaskan dalam dewan ini,” katanya.
Situasi bertambah panas apabila blok ahli Parlimen pembangkang bangkit menyokong tindakan Isnaraissah Munirah yang mempersoal keputusan tersebut.
Keadaan bertukar kecoh selepas Azhar Azizan enggan melayan tindakan Ahli Parlimen Kota Belud itu yang terus mendesak supaya usul itu diluluskan untuk dibahaskan.
Selepas beberapa ketika, tempat Azhar Azizan kemudiannya ditukar dengan timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon, namun keadaan terus kecoh.
Tanpa membiarkan kekecohan terus berlanjutan, Mohd Rashid campur tangan dengan meminta agar semua ahli Parlimen supaya bertenang.
Bagaimanapun, arahan yang dikeluarkannya itu tidak diendahkan, sehingga memaksa beliau mengarahkan Isnaraissah Munirah keluar dewan dan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!