DUN Perak bentang RUU Sumber Air 2022
IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air 2022 sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan RUU tersebut menjelaskan ketika ini pengurusan sumber air di Perak masih dikawal selia berdasarkan kepada peruntukan Akta Air 1920 [Akta 418] dan tiada badan khusus yang boleh menjadi rujukan utama untuk kawal selia sumber air tersebut.
Menurutnya, ketiadaan badan khusus itu menyebabkan kawal selia ke atas penggunaan sumber air negeri tidak dapat dioptimumkan khususnya dari aspek pelesenan dan penguatkuasaan yang melibatkan sumber air.
"Justeru itu, telah timbul keperluan dasar untuk menggubal satu undang-undang negeri baru yang teratur dan menyeluruh bagi menggantikan Akta Air 1920 [Akta 418] dan undang-undang yang berhubung dengannya.
"Oleh itu, RUU Sumber Air Perak 2022 ini digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air di negeri Perak serta menubuhkan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya," katanya ketika membacakan teks RUU Sumber Air 2022 itu.
Saarani berkata, antara negeri lain yang telah meluluskan enakmen berkaitan pengurusan sumber air adalah Negeri Selangor pada tahun 1999, Negeri Kedah pada tahun 2008 dan yang terkini adalah Negeri Terengganu pada tahun 2020.
Menurutnya, RUU Sumber Air 2022 digubal itu mengandungi 94 fasal peruntukan yang dibahagikan kepada 9 bahagian.
Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat mengemukakan pandangan mengenai RUU ini.
Wakil kerajaan yang membahaskan RUU ini ialah Jamilah Zakaria (BN-Trong), Dr Jurij Jalaludin (BN-Lubuk Merbau), Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) dan Leong Cheok Keng (PBM-Malim Nawar).
Bagi wakil pembangkang pula, Loh Sze Yee (DAP-Jalong), Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), Teoh Yee Chern (DAP-Astaka), Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji), Dr Muhd Fadhil Nuruddin (Amanah-Kamunting) dan Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar).
Sementara itu, Howard Lee dalam sidang akhbar selepas perbahasan berkata, pihak pembangkang menggesa agar RUU tersebut dipinda atau ditarik balik supaya penambahbaikan dalam beberapa perkara di dalam undang-undang tersebut dapat dilakukan.
"Kita tidak menolak bulat-bulat RUU ini cuma dengan betapa banyaknya masalah atau ketidaksempurnaan RUU ini, sukar untuk kita terima dengan apa yang ada, antaranya kuasa yang begitu besar diberikan kepada Lembaga Pengurusan Sumber Air dan pengarahnya mempunyai kuasa hampir mutlak.
"Kerajaan negeri perlu berlapang dada, bersifat terbuka dengan pindaan kami. Dengan undang-undang yang ada sukar untuk kita memberi sokongan dan meluluskan," katanya.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri bersedia melaksanakan pindaan di peringkat jawatankuasa, pembangkang sedia mempertimbangkan untuk memberi sokongan kepada RUU Sumber Air berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!