Tidak wajar tangguhkan projek pembangunan di Sabah

Jafry
Jafry
A
A
A

KOTA KINABALU - Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin menegaskan projek pembangunan tidak wajar ditangguhkan bagi menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jelasnya, langkah penjimatan perbelanjaan awam boleh dilakukan dengan pelbagai cara namun bukannya dengan menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula terutama di Sabah.

"Usaha kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan merupakan langkah untuk menghormati MA63.

"Sabah harus dilayan secara adil dengan menghormati MA63 untuk kebaikan bersama dan jangan sekali-kali meminggirkan Sabah dalam arus pembangunan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas langkah penjimatan dalaman oleh kerajaan yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam dengan menangguhkan atau membatalkan projek pembangunan yang belum dimulakan.

Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, Sabah adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun jurang pembangunan masih ketinggalan dalam beberapa aspek jika dibandingkan dengan negeri di Semenanjung.

"Saya yakin dan percaya untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bersatu padu, segala hasil kemakmurannya dikongsi secara adil oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah," ujarnya.

Sementara itu, dalam isu yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar menyifatkan bahawa dasar penjimatan dalaman adalah langkah ke arah belakang.

"Sabah jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan yang melibatkan keperluan asas rakyat seperti bekalan air bersih, bekalan eletrik dan jalan raya.

"Penangguhan dan pembatalan projek pembangunan yang belum dimulakan akan menyebabkan Sabah gagal bergerak sejajar dengan pembangunan di Kalimantan, Indonesia," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Kurniawan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed meneliti sudut implikasi jangka masa panjang ekonomi rakyat dan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!