‘Kami tidak mahu pencerobohan seperti di Lahad Datu berulang’

Isnaraissah Munirah ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Isnin.
Isnaraissah Munirah ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun telah tiga kali ditolak, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy nekad untuk terus mengemukakan usul supaya isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah dibahaskan segera di Dewan Rakyat.

Menurut ahli Parlimen daripada Parti Warisan (Warisan) itu, usul kali keempat itu akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada Isnin.

Ini kerana katanya, ia membabitkan kepentingan dan kedaulatan negara serta perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Kami tidak mahu Sabah berhadapan dengan kesan daripada tuntutan berkenaan, seperti pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu yang berlaku sembilan tahun yang lalu.

"Kami tidak mahu nanti orang Sabah yang akan hadap serangan seperti di Tanduo sebelum ini,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Isnin.

Turut hadir, tiga lagi ahli Parlimen daripada Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Datuk Rozman Isli (Labuan) dan Maimun Sulaiman (Kalabakan).

Isnaraissah Munirah dalam masa sama turut menggesa kerajaan menyatakan pendirian terhadap isu tuntutan waris kesultanan Sulu kerana ia membabitkan kedaulatan negara.

Malah katanya, isu tersebut bukan sahaja membabitkan rakyat Sabah, sebaliknya turut membabitkan isu keselamatan kepada negara.

“Saya mahu tahu apa pendirian negara dan ketegasan negara untuk perjuangkan apa yang dituntut oleh Sulu ini. Saya lihat kerajaan sambil lewa dan cuai terhadap isu ini. Tidak menyegerakan tindakan yang sepatutnya.

“Kadang-kadang saya sebagai anak Sabah melihat negeri ini hanya digadaikan. Sampai tahap apa lagi baru kerajaan ambil tindakan seterusnya? Yang saya jangkakan adalah sikap ketegasan kerajaan Malaysia. Tidak cukup lagikah aset Petronas dirampas, kita tunggu apa lagi yang dirampas?,” soalnya.

Pada Isnin, Isnaraissah Munirah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari susulan tindakannya mempertikai keputusan Azhar Azizan yang menolak usul yang dikemukakan.

Antara perkara yang dipertikaikannya adalah kelewatan kerajaan membuat permohonan untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!