Kastam rampas bahagian badan hidupan liar bernilai RM80 juta

Zazuli (empat, kiri) menunjukkan antara rampasan gading gajah susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Selangor, 10 Julai lalu.
Zazuli (empat, kiri) menunjukkan antara rampasan gading gajah susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Selangor, 10 Julai lalu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kegiatan penyeludupan bahagian badan hidupan liar bernilai RM80 juta berjaya digagalkan dalam operasi di Pelabuhan Barat, di sini 10 Julai lalu.

Operasi sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II Selangor pada jam 2.40 petang itu menemui 6,000 kilogram (kg) gading gajah, tengkorak serta tulang haiwan (300kg), sisik tenggiling (100kg), tanduk badak sumbu (29kg), dan tanduk haiwan (14kg).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemantauan pergerakan kapal yang membawa tiga kontena dipercayai dari Afrika.

"Pemeriksaan saringan menggunakan mesin pengimbas ke atas sebuah kontena terbabit mengesyaki dikesan membawa barangan larangan sebelum menemui anggota badan hidupan liar itu di belakang timbunan kayu di dalam kontena terbabit.

"Siasatan awal mendapati kapal tersebut bergerak dari Afrika sebelum ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sepatutnya berlayar ke Pasir Gudang, Johor namun berhenti di Pelabuhan Klang," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor di sini pada Isnin.

Beliau berkata, dipercayai kesemua anggota hidupan liar itu bukan untuk pasaran di negara ini dan hanya menjadikan pelabuhan sebagai transit untuk pemindahan kontena kepada kapal lain ke negara ketiga.

Katanya, jika mengikut pasaran gelap, sebatang gading gajah bernilai RM8,000 untuk 1kg dan taring harimau boleh mencecah RM10,000 (1kg) dan paling mahal adalah tanduk badak sumbu dianggarkan RM288,000 untuk 1kg.

Tambah Zazuli, berdasarkan rekod ini menjadikan rampasan terbesar berbanding tahun 2012 melibatkan 500kg gading gajah bernilai RM2.4 juta dan tahun 2014 membabitkan kulit tenggiling berjumlah RM40 juta.

"Kita masih mengesan pengimport dan ejen perkapalan terlibat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967," tegasnya.

Dalam perkembangan berlainan, Zazuli memberitahu, Kementerian Kewangan telah membekalkan enam unit mesin pengimbas baharu di pasang di Pelabuhan Klang secara berperingkat dari November tahun lalu hingga Mei ini.

Jelasnya, Kastam Zon Tengah Unit II (Selangor) telah berjaya menyelesaikan 106 kes dan memungut ketirisan hasil sebanyak RM928,729.08 melalui saringan mesin pengimbas baharu.

"Sebanyak 18 kes dianggarkan RM3.1 juta dengan nilai cukai terlibat berjumlah RM13.7 juta masih dalam siasatan tidak termasuk kes pada hari ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!