Maxis manfaatkan kehadiran satelit Measat-3d
MAXIS bakal memanfaatkan pelancaran satelit Satelit Measat-3d baharu bagi memperkembangkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tingginya dan intensif data dalam menghubungkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan terpencil.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, syarikatnya amat gembira terhadap kejayaan Malaysia melancarkan satelit tersebut yang disifatkannya sebagai peristiwa penting dalam perkembangan telekomunikasi di dalam negara.
“Kami telah melabur secara signifikan dalam pembinaan Rangkaian Menyeluruh selama lebih 25 tahun, untuk memastikan semua rakyat Malaysia bersalinghubung di mana mereka berada, pada bila-bila masa dan dalam apa jua cara untuk Terus Menerajui dunia yang semakin berubah.
“Kami turut gembira dengan kejayaan pelancaran Measat-3d baru-baru ini yang bakal memainkan peranan penting dalam keupayaan komunikasi mudah alih, fiber dan satelit untuk membawa pengalaman rangkaian yang lebih baik kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam kenyataan sama, syarikat telekomunikasi utama negara itu berkata, Maxis juga komited untuk menjayakan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dirancang oleh kerajaan.
“Pada suku pertama 2022, syarikat telah mencapai 3,000 premis yang diluluskan di bawah komersial dan 16,400 premis di bawah Universal Service Provision (USP) untuk fiber; dan untuk mudah alih, 12 tapak baharu dan menaik taraf 609 tapak.
“Bagi Jendela Fasa 2, penggunaan Akses Rangkaian Jalur Lebar Satelit akan menyediakan saling hubungan untuk capai liputan 100 peratus untuk Malaysia,” ujar kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Maxis berkata, penyelesaian tertumpu berkelajuan tinggi Very Small Aperture Terminal (VSAT) juga bakal memanfaatkan pengguna perusahaan dan segmen mudah alih terdiri daripada institusi korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); swasta dan kerajaan, serta meliputi permukaan darat dan laut.
Katanya, pelancaran satelit baharu itu juga membolehkan liputan dan prestasi yang lebih komprehensif terutamanya bagi kawasan kurang perkhidmatan dan terpencil di seluruh negara yang kekurangan akses rangkaian 4G atau fiber.
“Measat-3d akan melengkapkan satelit Measat3a dan 3b untuk keperluan komunikasi teras dan meningkatkan kapasiti jalur lebar satelit sepuluh kali ganda kepada 30 gigabit sesaat (Gbps), yang membolehkan peningkatan kelajuan jalur lebar internet pelanggan daripada 30 megabit per saat (Mbps) sehingga 100 Mbps.
“Penyelesaian VSAT boleh mengguna kapasiti jalur lebar satelit untuk menyediakan rangkaian komunikasi yang pantas tanpa halangan geografi atau infrastruktur daratan.
“Oleh itu, ia sesuai untuk kawasan yang sangat terpencil dan lokasi yang sukar diakses, atau di kawasan yang kurang sesuai untuk perkhidmatan darat biasa atau menara mudah alih,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!