Pembangkang DUN Kedah kecewa usul isu kepala air, banjir ditolak
ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kedah kecewa usul dikemukakan berkaitan isu kepala air dan banjir di Baling untuk dibincangkan di dalam sidang DUN Kedah ditolak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, isu terbabit sewajarnya dibincangkan dalam persidangan DUN selepas beliau membawa usul tergempar berkenaan, namun ditolak oleh Speaker DUN.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah berkata, usul tersebut tidak sepatutnya ditolak kerana ia dikemukakan awal sehari sebelum persidangan DUN Kedah bermula.
“Jangan gunakan isu bencana besar ini sebagai isu politik untuk menyalahkan pihak tertentu. Sepatutnya kerajaan melihat isu ini segera, bagaimana hendak menanganinya pada masa sekarang dan akan datang.
“Hasrat saya untuk bincang perkara itu, bagaimana tindakan diambil,seterusnya mengelak supaya tidak berlaku lagi di kawasan lain yang turut berisiko seperti Bukit Khaci di Changlun.
"Kes kepala air berlaku dua kali dalam masa terdekat dan tidak berlaku di negeri lain mesti ada sebab, itulah yang kita nak bincang,” katanya pada sidang akhbar di sini selepas sidang DUN Kedah ditangguhkan semula pada Oktober depan.
Dr Ismail yang merupakan Exco kerajaan negeri pada 2018 berkata, penerokaan membangunkan Ladang Sejahtera menyebabkan hutan berkenaan ditebang ‘cuci mangkuk’ yang didakwa berlaku antara 2008 sehingga 2013.
“Hasrat membangunkan Gunung Inas bermula sebelum 2008 lagi selepas ditebang balak dan dijadikan teres, selepas itu beralih kerajaan dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada ketika itu antara yang bantah penebangan di Pedu.
“Apabila Mukhriz menang, kesemua projek itu dihentikan sehingga digantikan dengan syarikat ECK dan di situlah bermulanya projek durian musang king pada era Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (2017),” katanya.
Sementara itu ADUN Derga, Tan Kok Yew berkata, semua pihak termasuk rakyat Kedah mahu mengetahui perkara sebenar berhubung tragedi kepala air dan jangan hanya menyalahkan kepada perubahan iklim dan cuaca.
“Jangan nak tutup cerita sebenar dengan salahkan hujan lebat dengan air luar biasa. Kita nak tahu apa tindakan diambil untuk elak tragedi berulang, apa yang rakyat perlu bersedia.
"Tempat paling sesuai untuk bincang adalah dalam DUN, namun usul berkenaan ditolak,” katanya.
ADUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris pula menyifatkan apa yang berlaku kini sebagai sindrom menyalahkan pentadbiran terdahulu.
“Sekarang yang berlaku ialah sindrom menyalahkan kerajaan terdahulu, tak boleh lah macam ni. Kita minta ruang berbincang namun tidak dibenarkan.
“Sepatutnya isu berkaitan masalah rakyat ambil banyak hari untuk bincang dan didedahkan kepada rakyat. Apa tindakan kerajaan namun langsung tidak ambil tindakan oleh kerajaan sekarang. Asyik cerita perkara yang lepas, yang ke depan tak ada,” katanya.
Mohd Asmirul turut mencadangkan agar diwujudkan portfolio khas yang menjaga isu bencana alam susulan dunia kini berdepan dengan perubahan iklim dan cuaca melampau.
“Kalau diperlukan, wujudkan Exco yang diberikan portfolio untuk menjaga bencana. Perlu diberi peruntukan oleh kerajaan negeri, itu antara perkara yang nak kita bincangkan tetapi tak dibenarkan. Jadilah kerajaan yang gagal dan lemah,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!