Individu disyaki terlibat pembakaran haram ditahan
KAJANG - Tiga orang lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan berkenaan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram berdekatan Plaza Tol Sungai Long di sini pada Isnin.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, individu-individu terbabit berusia dalam lingkungan 35 hingga 45 ditahan ketika hadir ke pejabat JAS Kajang pada Isnin.
Menurutnya, penahanan dibuat untuk membantu siasatan terhadap kesalahan melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A, Larangan atas pembakaran terbuka, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan.
"Individu-individu yang ditahan merupakan penjaga tapak pelupusan sampah haram tersebut dan rakan kongsi perniagaan yang menyewa tapak tersebut daripada pemilik tanah.
"Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk izin dakwa di bawah Seksyen 44, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Nor Aziah memaklumkan tapak pelupusan sampah haram berkenaan dilihat masih terbakar.
Beliau turut mengingatkan orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencemarkan alam sekitar kepada pihaknya.
"Berikutan musim panas dan kering yang sedang dialami negara, kebakaran terbuka mudah berlaku terutama di kawasan tanah gambut dan tapak-tapak pelupusan sampah yang tidak dikawal.
"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!