CEO anak syarikat bank ditahan kes rasuah RM24 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank antara tiga yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pada Isnin kerana disyaki terima rasuah bernilai lebih RM24 juta.

Menurut sumber, jumlah itu sebagai balasan meluluskan pinjaman dibuat oleh sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.

"Wanita berusia lingkungan 50-an bersama dua lelaki berusia 53 dan 58 tahun ditahan kira-kira jam 6 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

"Wanita tersebut dipercayai menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta ketika berkhidmat dengan anak syarikat sebuah bank pada sekitar tahun 2010," katanya pada Isnin.

Tambah sumber, lelaki berusia 53 tahun itu bekerja sebagai perunding kewangan manakala rakannya tidak bekerja.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

"Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat esok (Selasa) pada jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Putrajaya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!